Carian
Kehadiran Siri Honor 100 Mula Diacah Menerusi Poster Rasmi
November 14, 2023 Amy Maizuraa

Kehadiran siri Honor 100 telah diacah secara rasmi menerusi beberapa status terkini di Weibo. Peranti ini merupakan kesinambungan untuk Honor 90 sebelum ini yang dipasarkan dalam segmen pertengahan. Di mana selalunya siri ini mementingkan sama ada rekaan kosmetik, prestasi atau sistem kamera.

Jika dilihat daripada rekaan fizikal, siri baharu ini kelihatan unik khususnya pada bonggol kamera. Salah satu daripadanya menampilkan bentuk elips yang diperkemaskan dengan lengkungan tidak sekata, kemudian memuatkan tiga sensor kamera yang berbeza. Ini digabungkan juga dengan panel hadapan melengkung di kedua-dua sisi yang mempunyai lubang berbentuk untuk peletakan dwi-kamera swafoto.

Sementara itu sebuah lagi peranti pula mempunyai bonggol kamera berbentuk segi empat tepat bersama sokongan dwi-kamera utama di dalamnya. Turut boleh dilihat kamera turut dikelilingi dengan bulatan seakan bentuk cincin berwarna perak. Panel hadapan juga sejenis melengkung namun hanya memuatkan kamera swafoto tunggal pada lubang kecil di bahagian tengah.

Berkenaan perkakasan dalaman pula, tiada apa-apa butiran yang didedahkan buat masa ini. Tetapi tarikh pelancaran rasmi telah dijadualkan pada 23 November 2023 dan berlangsung di China.

Komen