Samsung, jenama teknologi terkemuka dari Korea Selatan cukup terkenal untuk pelbagai penawaran perkakasan elektronik mereka, tetapi mereka juga dikenali untuk menawarkan komponen-komponen memori dan storan yang digunakan dalam pelbagai industri juga.
Terkini, mereka telah memperkenalkan storan SSD luaran terbaru mereka yang dinamakan Samsung T5 Evo yang hadir dengan pilihan storan yang banyak, dan juga kadar penghantaran data yang pantas.
Rekaan storan T5 Evo ini nampaknya hadir dengan saiz yang padat, sepanjang 95mm sahaja dan cukup ringan sekali. Walaupun begitu, ia tampil dengan pilihan storan yang cukup besar sekali, bermula dari 2TB, 4TB dan juga 8TB. Kadar penghantaran dan pembacaan data untuk storan SSD ini juga agak pantas, pada kadar 460MB/s. Anda boleh menyambungkan storan SSD T5 Evo ini kepada komputer ataupun peranti pintar anda menggunakan kabel USB Type-C yang dibekalkan bersama-sama storan ini.
Storan ini juga menggunakan teknologi Dynamic Thermal Guard untuk memastikan bahawa storan SSD ini sentiasa beroperasi pada suhu optimum, dan mengurangkan kebarangkalian isu data rosak. Ia juga menyokong penyulitan data AES 256-bit untuk memastikan data anda sentiasa selamat.
Samsung mengatakan bahawa storan SSD Samsung T5 Evo ini akan diperkenalkan secara global, tetapi buat masa ini tidak memperlihatkan lagi tanda harga untuk storan-storan ini.