Siri CPU AMD Ryzen X3D merupakan siri CPU yang digemari oleh golongan gamer, kerana memori 3D V-cache yang terbina didalam CPU ini sangat membantu dalam meningkatkan prestasi gaming sebuah komputer. Malah, secara lazimnya apabila AMD melancarkan siri CPU baru, ramai yang akan sengaja menunggu untuk AMD memperkenalkan CPU X3D sebelum menaiktaraf komputer mereka.
Terkini, ia telah dilaporkan bahawa butiran mengenai dua CPU AMD X3D yang baru, iaitu AMD Ryzen 7 5700X3D dan AMD Ryzen 5 5500X3D akan diperlihatkan oleh AMD tidak lama lagi. Ini dijangka adalah penambahan kepada model CPU AMD Ryzen 7 5800X3D dan AMD Ryzen 5600X3D yang sudahpun di pasaran.

Ia dilaporkan bahawa AMD Ryzen 7 5700X3D akan hadir dengan lapan teras dan 16 bebenang kuasa dengan 100MB memori cache terbina dan mempunyai kelajuan asas 3.0GHz dan kelajuan lewahjam 4.1GHz. AMD Ryzen 5 5500 pula hadir dengan enam teras fizikal dan 12 bebenang kuasa dengan jumlah cache yang sama, dan mempunyai kelajuan lewahjam 4.0GHz.
Lebih menarik lagi ia juga dijangka bahawa CPU-CPU ini akan hadir dengan jumlah TDP (penggunaan kuasa) lebih rendah berbanding dengan AMD Ryzen 7 5800X3D dan AMD Ryzen 5 5600X3D sebelum ini, yang hadir dengan TDP 105W.
Bagi mereka yang masih lagi menggunakan papan induk platform AM4 dan mahu menaiktarafkan CPU mereka kepada model X3D, mungkin ia berbaloi untuk menunggu buat masa ini untuk AMD membuat pengumuman rasmi mengenai CPU-CPU ini.
- Sumber
- TechPowerUp