visionOS adalah sistem operasi yang digunakan pada set kepala realiti gabungan mewah Apple iaitu Vision Pro. Semalam, Telegram telah berkongsi video demo bagaimana aplikasi mereka akan berfungsi pada set kepala ini.
Secara keseluruhan, aplikasi Telegram yang dipaparkan kelihatan seakan versi penuh seperti pada versi desktop atau pada macOS cuma dengan rekaan antaramuka lutsinar yang akan disesuaikan mengikut persekitaran pengguna. Terdapat beberapa ikon terapung untuk kawalan yang lebih mudah.
Menariknya, di ruang pemesejan semua pelekat menyokong pergerakan dan boleh bergerak keluar ke tetingkap seakan terapung di ruang tamu pengguna misalnya. Video yang dimainkan turut akan membawakan pengguna ke skrin maya yang besar dengan kesan bayang-bayang mengikut pergerakan di dalam video.
Kelak jika Apple Vision Pro yang berharga lebih RM16,000 ini telah dijual adakah anda akan berkomunikasi dengan rakan atau yang tersayang menggunakan Telegram atau akan kekal dengan iMessage sahaja? Setakat ini saya masih tidak nampak aplikasi pemesejan lain dibangunkan untuk platform realiti gabungan Apple ini.