Baru-baru ini Samsung melancarkan Samsung Galaxy Tab S9 FE+ serentak dengan Samsung Galaxy S23 FE, Galaxy Buds FE, dan Samsung Galaxy Tab S9 FE. Kesemua peranti “edisi peminat” yang dikeluarkan oleh Samsung ini adalah untuk memberikan lebih banyak pilihan kepada penggemar peranti Samsung untuk mendapatkan peranti eksklusif dengan harga yang lebih mampu milik.
Oleh itu, peranti-peranti edisi peminat ini memiliki beberapa ciri dikorbankan agar kos pembuatannya dapat dikurangkan dan harga yang ditawarkan lebih rendah berbanding dengan model peranti mercu. Demikian itu, dalam penulisan ini saya akan memberikan ulasan mengenai prestasinya setelah lebih kurang dua minggu penggunaan.
SPESIFIKASI
Samsung Galaxy Tab S9 FE+ | |
Skrin | 12.4″ IPS LCD, 2560 x 1600, 90Hz S-Pen |
Pemproses | Exynos 1380 (5nm) |
Cip | 4x Cortex-A78 2.4 GHz 4x Cortex-A55 2.0 GHz |
Cip Grafik | Mali-G68 MP5 |
RAM | 8 / 12 GB RAM |
Muatan Dalaman | 128/256 GB Mikro SD 1TB |
Kamera Utama | 8 MP (sudut lebat) 8 MP (ultra sudut lebar) 4K 30fps , 1080p 30fps |
Kamera Depan | 12 MP 1080p 30fps |
Bateri | 10000 mAh Pengecasan berwayar 45W |
SIM/Telefoni | WiFi/5G |
Audio | Speaker Stereo |
Sistem Imbasan | Imbasan Wajah Imbasan Cap Jari |
Harga Jualan | RM2799 (8/128 GB, WiFi) RM3099 (8/256 GB, WiFi) RM3399 (8/128 GB, 5G) RM3699 (12/256 GB, 5G) |
SKRIN DAN REKAAN
Samsung Galaxy Tab S9 FE+ ini hadir dengan skrin bersaiz 12.4” panel jenis IPS LCD dengan kadar segar semula 90Hz. Bagi menilai kualiti paparannya, saya menggunakan Samsung Galaxy Tab S9 FE+ ini untuk menonton video di Netflix dan memainkan permua pada kadar resolusi tinggi. Secara asasnya paparan skrin yang ditunjukkan berada pada tahap yang baik kerana warna yang dipaparkan masih pop dan visual juga agak tajam.
Tetapi kecerahannya terhad kepada 600 nits yang pastinya akan memberikan kesukaran untuk melihat paparan skrin sekiranya berada di luar dan terdedah kepada cahaya matahari. Jika dibandingkan dengan skrin AMOLED pada siri Tab S9, warna pada skrin ini juga kurang menyerlah dan juga tiada sokongan HDR sedikit mengecewakan.
Rekaan pada peranti pula boleh saya katakan sederhana dan kemas. Bahagian bingkai dan juga belakang tubuh peranti diperbuat daripada aluminium. Manakala bahagian skrin pula terbina daripada kaca. Memandangkan bahagian tubuh belakangnya adalah aluminium menjadikan tubuh peranti mudah terlihat kotor dengan bekas cap jari.
Satu bonus pada Tab S9 FE+ ialah ia tablet yang melepasi piawaian kalis air dan debu IP68. Ini ialah ciri yang jarang sekali diberikan pada sebuah tablet dengan hanya siri Tab S9 sahaja sebelum ini turut menerimanya. Maka jika anda mahukan tablet untuk anak yang kalis air, Tab S9 FE+ ialah antara memenuhi kriteria ini.
Tetapi tubuh Tab S9 FE+ ini tetap saja terlihat kukuh dan juga terasa premium apabila dipegang. Samsung hadirkan tablet ini dengan empat pilihan warna iaitu warna Mint, Lavender, Gray dan Silver. Model yang saya gunakan ini ialah warna Mint.
S Pen
Sebatang stylus S Pen diberikan dengan pembelian dengan ia adalah dari jenis yang lebih tebal dan besar berbanding S Pen pada S23 Ultra. Dengan saiz lebih besar ini menggunakannya untuk melakar pada skrin terasa lebih selesa. Tiada isu jari sakit kerana tubuhnya yang bulat. Stylus mengesan tekanan dan juga sudut ia dipegang. Bagi mereka yang menghasilkan karya digital ini adalah ciri perlu.
Perisian Tab S9 FE+ juga boleh membaca tulis yang pada skrin dan kemudian diubah menjadi teks. Kotak carian Google Search dan carian pada talam aplikasi juga boleh membaca tulisan tangan.
S Pen boleh disimpan di bahagian tepi dan belakang menerusi magnet terbina. Sayang sekali S Pen yang diberikan ini adalah dari jenis Wacom biasa sahaja tanpa sokongan Bluetooth. Untuk menikmati sokongan Bluetooth, S Pen Pro perlu dibeli tetapi pada waktu ini belum lagi dijual di Malaysia.
PENGGUNAAN DAN PERISIAN
Sistem Operasi One UI 5.1 berasaskan Android 13 dijalankan pada tablet ini. Antaramuka mudah difahami dengan ia sebenarnya tidak banyak berbeza dengan yang digunakan pada siri Tab S9 sebelum ini. Sepanjang tempoh ulasan saya dapati tablet beroperasi dengan lancar. Samsung tidak menyertakan banyak aplikasi gendut dan sebarang aplikasi yang tidak diperlukan boleh dibuang sendiri.
Ciri RAM maya RAM Plus membolehkan memori ditambah sehingga 8GB. Saya menggunakan 4GB sahaja semasa mengulas dan banyak aplikasi boleh dilancarkan dengan 12GBB RAM. Pengguna boleh memadamkannya jika mereka lebih mementingkan storan berbanding memori tambahan.
Terdapat sokongan Taskbar yang sebelum ini ditawarkan pada siri Z Fold. Dengan Taskbar proses menukar aplikasi dapat dilakukan dengan pantas. Melancarkan dua aplikasi serentak dalam mod Multi Window turut lebih mudah kerana boleh dilakukan menerusi aksi drag and drop sahaja dari ikon di Taskbar.
Turut diberikan ialah Samsung DeX dengan ia dilancarkan secara automatik apabila kerangka Smart Book Cover digunakan. Menerusi DeX, Tab S9 FE+ berubah menjadi sebuah komputer riba. Cuma agak aneh mod DeX ini tidak boleh digunakan pada TV secara nirwayar seperti pada S23 Ultra. Mengapa ia tidak disertakan tidak pula kami tahu. Mungkin ciri ini ekslusif pada peranti Samsung yang lebih mercu sahaja.
PENANDA ARAS DAN PRESTASI
Selain itu, Samsung Galaxy Tab S9 FE+ menggunakan cip pemproses Exynos 1380 yang merupakan sebuah cip kelas pertengahan dalam kelas yang sama dengan Snapdragon 778G. Ini dipadankan pula dengan Tab S9 FE+ ini juga dipadankan dengan memori 128GB RAM dan storan 256GB yang sememangnya cukup besar. Pengalaman bermain permua pada resolusi tinggi adakalanya sedikit tersekat-sekat tetapi untuk menjalankan aplikasi media sosial dan menonton filem tiada sebarang masalah boleh saya laporkan.
Geekbench 6
- Samsung Galaxy Tab S9 FE+ – 990/2790
- TCL Tab 11 – 316/1224
- Xiaomi Pad 6 – 1293/3279
Antutu 3D
- Samsung Galxy Tab S9 FE+ – 595,820
- TCL Tab 11 – 205,796
- Xiaomi Pad 6 – 657,448
3DMark
- Samsung Galxy Tab S9 FE+ – 2939
- TCL Tab 11 – 185
- Xiaomi Pad 6 – 1227
Pada hemat saya, cip yang digunakan pada peranti ini adalah sebuah cip pemproses yang memuaskan serta mampu memberikan pengalaman penggunaan tablet yang baik. Ia mungkin tidak mempunyai kuasa yang tinggi seperti Tab S9+ tetapi ia masih lagi cukup berkuasa untuk kegunaan harian. Bagi mereka yang tidak memerlukan tablet kelas mercu, Exynos 1380 adalah memadai.
KAMERA
Pengalaman menggunakan kamera berada pada tahap memuaskan sahaja kerana ia bukanlah kamera terbaik pada sebuah tablet berbanding dengan yang ada di pasaran sekarang. Kamera utama 8MP sudut lebar dan 8MP ultra sudut lebar memberikan hasil gambar yang agak lembut dan keperincian yang tidak begitu terpelihara. Malah warna gambar juga sedikit pudar.
Sensor 12MP untuk kamera hadapan pula boleh saya katakan berada pada tahap sekadar cukup untuk pengalaman melakukan panggilan video yang baik. Tetapi ini ialah hakikat tablet kelas pertengahan. Kemampuan fotografi yang memuaskan secara lazimnya tidak begitu diberikan kepentingan oleh pengeluar.
AUDIO
Samsung Galaxy Tab S9 FE+ ini juga menawarkan pengalaman audio yang baik dengan kualiti yang agak mengagumkan. Hal ini kerana, meskipun tablet ini bukan sebuah peranti khas untuk audio, tetapi prestasi yang diperdengarkan adalah memadai untuk banyak jenis kegunaan khususnya mendengar muzik dan menonton filem pada tablet. Tablet ini hadir dengan dengan dua speaker stereo yang mampu menghasilkan bunyi yang jelas dan kuat bahkan ia juga disokong dengan teknologi Dolby Atmos yang menjamin pengalaman bunyi yang immersif.
BATERI
Kapasiti bateri peranti ini pula adalah sebesar 10,000 mAh yang tahan lama dan menjadikan pengalaman penggunaan dalam tempoh jangka masa panjang pastinya tiada masalah. Penggunaan sehingga 10 jam SOT satu hari untuk corak penggunaan biasa seperti menonton filem dan melayari media sosial dapat saya nikmati. Apa yang boleh saya katakan, anda dijamin tidak perlu mengecas peranti ini dengan kerap kerana baterinya cukup tahan untuk seharian penggunaan biasa dan dua hari untuk kadar penggunaan yang ringan. Dengan pengecas 45W, bateri yang besar ini boleh dicas semula dalam masa 90 minit. Kepala pengecas tidak disertakan dengan setiap pembelian.
PESAING
Samsung Galaxy Tab S9 FE+ | TCL Tab 11 | Xiaomi Pad 6 |
12.4″ IPS LCD, 2560 x 1600,90Hz | 10.95″ LCD, 2000 x 1200,60Hz, NXTVISION Eye Care | 11″ LCD, 2880 x 1800, 144Hz, Dolby Vision |
Exynos 1380 (5nm)4x 2.4 GHz Cortex-A784x 2.0 GHz Crtex-A55 | Helio P60T (12nm)4x 2.0 GHz Cortex-A734x Cortex-A53 | Snapdragon 870 (7nm) 1x 3.2 GHz Kryo 585 3x 2.42 GHz Kryo 585 4x 1.80 GHz Kryo 585 |
Mali-G68 MP5 | Imagination PowerVR GE8320 | Adreno 650 |
8 / 12 GB | 4GB | 8GB LPDDR5 |
128 / 256 GB + MicroSD | 128GB | 128/256 GB UFS 3.1 |
Kamera Utama8 Megapixel (sudut lebar)8 Megapixel (ultra sudut lebar) | Kamera Utama8 Megapixel, f/2.0 | Kamera Utama 13 Megapixel, f/2.2 |
Kamera Hadapan12 Megapixel | Kamera Hadapan8 Megapixel | Kamera Hadapan 8 Megapixel f/2.2 |
Tiada bicu audio 3.5mm | Tiada bicu audio 3.5mm | Tiada bicu audio 3.5mm |
Audio Stereo | 8000 mAh(Berwayar 18W) | Audio Stereo |
10000 mAh(Berwayar 45W) | 8360 mAh(Berwayar 33W) | 8840 mAh (Berwayar 33W) |
RM2799 (8/128 GB, WiFi) RM3099 (8/256 GB, WiFi) RM3399 (8/128 GB, 5G) RM3699 (12/256 GB, 5G) | RM999 (4/128 GB) | RM1399 (8/128 GB, WiFi) RM1499 (8/256 GB, WiFi) |
APA ADA DALAM KOTAK?
Berikut adalah apa yang anda akan terima apabila membeli Samsung Galaxy S9 FE+
- 1x Samsung Galaxy Tab S9 FE+
- 1x Kabel USB-C ke USB-C
- 1x S-Pen
- 1x Set Manual
- 1x Pin talam SIM
KESIMPULAN
Samsung Galaxy Tab S9 FE+ ialah tablet yang dipasarkan sebagai mampu milik oleh Samsung. Ia masih hadir dengan rekaan yang bukan sahaja kelihatan premium tetapi turut sedap di dalam tangan. Tidak terdapat banyak tablet di luar sana yang melepasi piawaian IP68 dan Tab S9 FE+ adalah antara yang tergolong dalam kumpulan yang kecil ini. Ketahanan bateri juga baik dibantu dengan ciri tambahan sokongan stylus S Pen untuk lakaran terus pada skrin. Mod Samsung DeX turut boleh digunakan menjadikan tablet ini seakan sebuah komputer riba.
Untuk kegunaan harian ia lebih daripada memadai cuma anda harus menyedari ia tidak dilengkapi cip berkuasa untuk permua seperti Genshin Impact. Prestasi kami juga sekadar ala kadar yang mengecewakan sesetengah pengguna yang ingin mengambil gambar dengan tablet ini.
Walaupun ia sebuah tablet yang baik, sedikit sukar untuk mengatakan ia benar-benar mampu milik kerana harga jualan bermula RM2799 dan mencecah RM3699. Saya hanya sarankan Tab S9 FE+ kepada mereka yang memang inginkan tablet dengan ekosistem Samsung, binaan yang baik dan kemampuan kalis air.
Pro
- IP68 kalis habuk dan air.
- Ciri Taskbar memudahkan proses multi tugas.
- Sistem audio yang jelas dan kuat.
- Perisian bebas aplikasi gendut.
- Kapasiti bateri yang besar dan tahan lama.
Kontra
- Kamera bahagian belakang kurang berkualiti.
- Aksesori seperti kepala pengecas dan kerangka luar dijual berasingan.