Cari @ Amanz

Dasung ialah sebuah jenama pembuat paparan e-ink dari Jepun yang dikenali untuk pelbagai penawaran skrin e-ink mereka. Terkini, mereka telah memperlihatkan paparan Dasung 253U-F, sebuah paparan skrin e-ink yang hadir dengan nilai lengkungan 4000R.

Paparan Dasung 253U-F ini dilihat menggunakan paparan e-ink sama seperti Dasung Paperlike 253 yang dilancarkan pada tahun 2021, tetapi kini telah dinaiktarafkan untuk hadir dengan resolusi 3200×1800 pixel, nisbah paparan 16:9 dan lengkungan 4000R. Bergantung kepada model yang dibeli juga, paparan ini akan hadir dengan lampu terbina untuk menerangkan permukaan paparan supaya ia lebih mudah untuk dilihat dan dibaca.

Dari segi palam, paparan Dasung 253U-F ini hadir dengan palam HDMI terbina, satu palam USB Type-C, tiga palam USB Type-A, palam audio 3.5mm dan juga pembesar suara terbina. Paparan ini juga mempunyai tiga mod paparan, iaitu mod Graphics, mod Text dan mod Video.

Lengkungan 4000R yang dipasarkan oleh Dasung juga dilihat tidak memberikan sebarang penambahbaikan kepada pengalaman penggunaan paparan ini, tetapi melalui mod-mod berbeza yang ditawarkan oleh skrin 253U-F ini, mungkin pengguna boleh merasakan sedikit perbezaan apabila menggunakannya.

SKT Corporation, syarikat disebalik Dasung mengatakan bahawa paparan Dasung 253U-F ini sudahpun mula ditawarkan di beberapa pasaran terpilih seperti Amerika Syarikat pada harga $1798 (~RM8390).

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd