RedMagic 9 Pro bakal dilancarkan di China pada 23 November akan datang tetapi rekaan peranti telah diperlihatkan sepenuhnya. Ia didedahkan oleh pihak Nubia sendiri menerusi status terkini di Weibo. Dari aspek rekaan RedMagic 9 Pro mempunyai tubuh yang sepenuhnya rata baik di bahagian hadapan mahupun belakang. Ini bermakna tiada langsung bonggol kamera yang kelihatan.

Seterusnya terdapat dwi-kamera di belakang dengan sensor utama 50MP Samsung ISOCELL GN5 dan OIS. Sementara itu sensor kedua pula sejenis ultra lebar tanpa butiran khusus mengenai konfigurasi. Turut disertakan ialah kipas penyejuk RGB yang menjadi kebiasaan untuk peranti gaming. Pada bahagian hadapan skrin besar dengan bezel nipis pada keempat-empat sisi digunakan.
Tiada lubang atau takuk yang kelihatan memberi gambaran peranti boleh dilengkapi kamera swafoto di bawah skrin. Sebanyak dua warna yang akan disediakan, dan seperti biasa penawaran peranti bakal terjawab sepenuhnya sewaktu pelancaran rasmi kelak.