Google hari ini mengumumkan eksperimen terbaru mereka pada halaman carian dibawah Search Labs, dinamakan sebagai Notes. Melaluinya, ia membawakan fungsi seumpama carian sosial ke Google – dimana orang ramai boleh berkongsi ilmu dan info yang dikumpulkan mereka bersama yang lain.
Dibawah eksperimen baharu ini, pengguna akan dipaparkan dengan pilihan menambah nota dibawah hasil carian, atau turut sama melihat nota pengguna lain. Dengan langkah ini, selain info tambahan, pengguna juga boleh melihat pandangan orang ramai berkenaan sesuatu halaman web berkenaan – sekaligus, memudahkan pengguna mendapatkan sesuatu konteks yang dikongsikan halaman web berkenaan.
Bentuk Notes dipaparkan juga adalah seumpama sejumlah laman sosial lain, memudahkan anda untuk melihat pelbagai perkongsian dengan pantas. Untuk tujuan perkongsian pula, ia membawakan antaramuka seumpama mencipta Stories pada halaman sosial – dimana anda boleh mengubah paparan teks, menambah sticker atau gambar sebelum melakukan perkongsian.
Google turut menyatakan mereka turut menambah algoritma khas pada Notes yang memastikan informasi selamat dikongsikan melaluinya.
Buat masa ini, Google menguji Notes di Amerika Syarikat, dan juga di India. Ia tidak diketahui lagi bilakah ciri ini akan diperluaskan kepada pengguna seluruh dunia.