Microsoft kembali memasuki arena menghasilkan cip rekaan sendiri selepas mengumumkan cip Maia 100 dan Cobalt 100 ketika acara Ignite pagi ini. Cip kecerdasan buatan (AI) Maia 100 direka untuk sistem Azure dengan ia sedang diuji untuk keperluan Bing dan AI dalam perisian Office. OpenAI turut menguji Maia 100 untuk keperluan GPT-3 Turbo mereka.

Pada peringkat awal Maia 100 akan digunakan pada perkhidmatan yang ditawarkan oleh Microsoft sebelum turut ditawarkan kepada pelanggan mereka yang lain. Microsoft tidak mendedahkan spesifikasi lengkap Maia 100 kecuali ia menggunakan teknologi 5nm TSCM serta dilengkapi 105 bilion transistor.
Sementara itu cip Cobalt 100 pula ialah cip untuk pelayar pertama rekaan Microsoft. Ia menggunakan senibina ARM dan mengandungi 128 teras CPU. Ia direka khusus untuk perkhidmatan awanan menerusi platform Azure.

Seperti Maia 100, Cobalt 100 turut dikilangkan oleh TSMC tetapi maklumat mengenai senibina yang digunakan belum didedahkan. Pada waktu ini ia diuji untuk menjalankan Microsoft Teams pelayar SQL dengan perancangan menawarkannya sebagai VM kepada pelanggan.
Kedua-dua cip akan mula digunakan pada skala besar bermula 2024 dengan ia dilihat sebagai satu cara untuk Microsoft mengurangkan pergantungan kepada NVIDIA, AMD dan Intel bagi keperluan perkomputeran mereka di masa hadapan serta mengurangkan kos operasi.