Garmin telah mengumumkan generasi baharu siri jam tangan menyelam Descent Mk3 di Malaysia. Antara ciri menonjol yang diketengahkan termasuklah paparan sejenis AMOLED dan kemampuan menghantar pesanan diantara para penyelam. Sebanyak dua model disediakan iaitu Descent Mk3 dalam saiz 43mm, sementara itu Descent Mk3i pula bersaiz 43mm dan 51mm.
Bermula dengan paparan model 43-inci mempunyai skrin sebesar 1.2-inci dengan resolusi 390 X 390 piksel. Sementara itu model lebih besar 51mm pula dilengkapi skrin 1.4-inci pada resolusi 454 X 454 piksel. Ini dipadankan juga dengan pelbagai sensor kecergasan dan kesihatan terbina yang merangkumi pelbagai mod menyelam terbina (termasuk nitrox dan trimix). Di samping sokongan pemberitahuan pintar, muat-turun lagu, pembayaran tanpa sentuh Garmin Pay, lampu suluh terbina dan banyak lagi.
Seterusnya bateri disertakan pula boleh bertahan sehingga 10 hari untuk model 43mm, sementara itu model 51mm pula mampu beroperasi hingga 25 hari dengan sekali pengecasan. Kelebihan turut diberikan pada model MK3i menerusi teknologi sonar SubWave yang membenarkan komunikasi di bawah air untuk menyelam. Di samping itu pengguna turut boleh mendapatkan Descent T2 Transceiver untuk memantau penggunaan gas, tekanan tangki dan baki masa udara.
Bagi yang berminat, kesemua jam tangan ini dijual pada RM6,220 untuk Descent Mk3 (43mm), RM7,250 untuk Descent Mk3i (43mm) dan RM8,280 untuk Descent Mk3i dengan saiz 51mm. Turut dijual ialah Descent T2 transmitter pada RM2,590, dan anda boleh mendapatkan kesemuanya menerusi pengedar sah Garmin di seluruh Malaysia bermula penghujung Disember hadapan.