Kunci sekuriti Google Titan Security Key dilancarkan pada tahun 2018 sebagai kunci keselamatan dwi-faktor (2FA) fizikal bagi mereka yang ingin memastikan akaun sukar digodam. Ia ditawarkan dalam dua format iaitu Bluetooth dan USB-A. Disebabkan penjualan kunci ini tidak meluas, Google kemudian mengemaskini peranti Android untuk turut menjadi kunci sekuriti.
Terbaru, Google telah melancarkan dua lagi Titan Security Key baharu. Kali ini terdapat dua jenis juga iaitu USB-A dan USB-C. Google menyatakan yang setiap kunci sekuriti mereka ini melepasi piawaian FIDO2 dan boleh menyimpan sehingga 250 passkey. Google turut akan mengedarkan 100,000 kunci ke seluruh dunia secara percuma untuk pengguna dan rakan industri yang berisiko tinggi.
Setiap kunci ini dijual pada harga $30 (~RM141) untuk versi USB-A dan $35 (~RM165) untuk versi USB-C. Tiada sebarang pengumuman sama ada Google akan menjualnya ke pasaran Malaysia atau terhad di negara yang menerima Google Pixel sahaja.