Oppo hari ini mengumumkan kemaskini pelancar baharu berasaskan Android untuk telefon pintarnya menerusi pengenalan ColorOS 14. Ia dibina berasaskan Android 14 dengan reka bentuk serba baharu yang dioptimumkan bersama ciri pintar berkuasa AI. Ini bertujuan bagi meningkatkan pengalaman keseluruhan dalam pelbagai aspek termasuk kecekapan, prestasi dan keselamatan.
Pelancar baharu ini menggunakan reka bentuk Aquamorgraphic yang diberi nafas baharu dengan gabungan sistem warna, kesan bunyi dan interaksi lebih baik. Melaluinya sistem warna kini telah dinaiktaraf dengan kebolehan penyesuaian mengikut status, masa dan kandungan pada skrin semasa. Selain itu Oppo juga telah bekerjasama dengan professional bagi menyediakan pilihan audio bersama kesan bunyi terbaik pada ColorOS 14.
Kemudian terdapat juga ciri Aqua Dynamics baharu untuk pengalaman interaksi lebih menarik, di mana pelbagai maklumat boleh diakses menerusi gelembung/kapsul pada status bar. Tidak ketinggalan sistem Always On Display turut ditambahbaik dengan pilihan Go Green bertujuan memberi kesedaran tentang perubahan iklim dan pelindungan alam sekitar.
Seperti diperkatakan tadi ColorOS 14 turut dioptimumkan bersama ciri pintar berkuasa AI. Antaranya seperti ciri Smart Touch yang membolehkan pengguna memilih mana-mana kandungan seperti teks, imej dan video daripada sistem/aplikasi pihak ketiga. Kemudian mengumpulnya pula pada Fail Dock dengan mudah menggunakan gerak isyarat meleret.
Seterusnya terdapat juga Fail Dock baharu pada ciri Smart Sidebar yang memudahkan perkongsian kandungan merentas aplikasi dengan mudah melalui Split Screen atau Floating Windows itu sendiri. Fungsi Smart Image Matting pula membolehkan pengguna memangkas pelbagai subjek dalam imej/video yang dijeda pada mana-mana telefon pintar.
Seterusnya ciri Trinity Engine pula bantu meningkatkan prestasi peranti dengan lebih lancar dan stabil menerussi pengurusan sumber komputer, memori dan storan yang cekap. Melaluinya, ciri ROM Vitalization boleh mengosongkan memori sekaligus menjimatkan ruang sehingga 20GB. Dalam masa sama mempercepatkan prestasi memori untuk memastikan lebih banyak aplikasi aktif di latar belakang. Kemudian CPU Vitalization pula merupakan teknologi penjadulan kuasa komputer yang membolehkan pengalaman lebih lancar dinikmati tanpa isu kehabisan bateri dengan cepat.
Di samping itu ColorOS 14 juga memuatkan ciri Smart Charging berasaskan AI yang boleh melaras arus secara automatik berdasarkan status penggunaan telefon pintar. ColorOS 14 juga memberi tumpuan terhadap pelindungan privasi lebih baik menerusi ciri Picture Keeper, yang boleh menghalang aplikasi daripada menyalahgunakan kebenaran untuk foto dan video peribadi.
Akhir sekali ColorOS 14 juga membenarkan aplikasi Snapchat diletakkan pada pintasan ringkas skrin utama,yang turut membolehkan pengguna menyemak msesj atau status baharu melaluinya.