JBL Malaysia sedang mengadakan jerayawara Heart of Sound di Mid Valley Megamall, Kuala Lumpur. Di sini, JBL menawarkan sejumlah produk mereka pada harga diskaun selain turut menawarkan belian-dengan-belian dan juga berpeluang membawa pulang pelbagai produk audio secara percuma. Jerayawara ini akan berakhir pada 19 November 2023.
Pada masa yang sama, JBL Malaysia hari ini turut telah melancarkan empat produk baharu iaitu speaker di bawah siri JBL Authentics dan juga pemain piring hitam. Speaker ini adalah JBL Authentics 500, 300 dan 200 serta BT Spinner.
JBL Authentics 500 – RM3699
Speaker ini menggunakan kuasa 270w dengan teknologi audio saluran 3.1 serta Dolby Atmos maya. Di dalamnya terdapat tiga tweeter 1″, tiga midrange woofer 2.75-inci, satu subwoofer 6.5″ di bawah untuk menyampaikan bass secara menyeluruh.
Speaker ini menggunakan rekaan retro mengambil inspirasi asal-usul JBL yang mula beroperasi pada tahun 1946. Di hadapan JBL Authentics 500 adalah kekisi Quadrex, di atas terdapat butang dan tombol kawalan, di belakang terdapat sambungan LAN, USB-C dan bicu 3.5mm serta wayar palam kuasa. JBL turut menggunakan fabrik yang 100% dikitar semula bersama-sama dengan 85% plastik kitar semula.
Speaker ini turut menyokong AirPlay, Alexa Multi-Room Music (MRM), Chromecast, Spotify Connect, menyokong dua pembantu maya serentak iaitu Google Assistant dan Amazon Alexa dan boleh dikawal dengan aplikasi JBL One App. Speaker ini turut mempunyai ciri penalaan automatik yang akan menentukur audio mengikut ruang bilik.
JBL Authentics 300 – RM2599
Speaker ini turut mempunyai ciri dan fungsi yang lebih kurang sama dengan Authentics 500. Dari sokongan AirPlay, Chromecast, pembantu maya, port sambungan dan lain-lain. Beza utama adalah dalamannya dan model Authentics 300 ini jenis mudah alih yang ada bateri terbina yang bertahan sehingga 8 jam serta pemegang untuk mudah ia dibawa ke mana sahaja.
Pemandu audio yang digunakan adalah dua tweeter 1″, satu full range woofer 5.25-inci dan satu radiator pasif 6.5-inci. Rekaan juga adalah lebih kurang sama tetapi saiznya yang lebih kecil dan ia lebih ringan.
JBL Authentics 200 – RM1999
Ini adalah speaker di bawah siri Authentics yang paling murah dan juga ia menjadi semakin kecil dan semakin ringan. Mengejutkan, JBL masih menawarkan ciri dan fungsi yang sama ada pada model 500 dan 300. Dari rekaan yang lebih kurang sama, butang dan tombol kawalan, port, Google Assistant atau juga penalaan automatik.
Untuk model ini, pemandu audio yang digunakan adalah dua tweeter 1″, satu woofer 5-inci jenis full range dan satu radiator pasif 6-inci menghala ke bawah. Walaupun saiznya yang paling kecil, ia masih bergantung sepenuhnya kepada palam kuasa.
JBL Spinner BT Turntable – RM3299
Akhir sekali, produk yang JBL Malaysia ingin padankan bersama siri Authentics ini adalah pemain piring hitam nirwayar. Setiap muzik pada piring hitam yang dimainkan akan menyokong AptX HD pada mana-mana speaker JBL. Tonearm yang digunakan diperbuat daripada aluminium, ketapak pula kayu dan headshell adalah jenis boleh tanggal untuk mudah digantikan.
Pada bahagian piring terdapat kemendit dan motor dengan sensor optikal yang boleh memastikan piring hitam berputar pada kadar 33.3 rpm untuk album dan 45 rpm untuk satu lagu. JBL turut menyertakan kartrij magnet bergerak terus pada pemain mereka ini.