Tesla hari ini mengumumkan pembukaan rasmi stesen pengecasan pantas, Tesla Supercharger pertama di Melaka, di Freeport A’Famosa Outlet. Melalui stesen pengecasan baharu ini, Tesla menyediakan 4 pengecas Supercharger, dan satu pengecas Destination Charger.
Ini adalah stesen pengecasan pantas ke-4 yang dibuka oleh Tesla di Malaysia, selepas di Lembah Klang (Pavilion KL dan Cyberjaya) dan juga di Johor sebelum ini. Caj bayaran adalah seperti biasa, iaitu RM1.25 untuk setiap kWh. Pengguna akan turut dikenakan caj RM4 setiap minit apabila kereta telah dicas penuh dan tidak dialihkan dari stesen pengecas.
Seperti ramai sedia maklum, melalui stesen Tesla V3 Supercharging, ia berupaya mengecas Tesla Model 3 selama 15 minit untuk jarak perjalanan 282km. Ketika pengumuman pembukaan stesen pengecasan juga, Tesla menyatakan mereka bakal menawarkan Wall Connectors untuk pasaran Malaysia tidak lama lagi.
Disamping itu, Tesla turut berkongsi menyatakan mereka akan mulakan penghantaran tempahan Tesla Model 3 bermula penghujung 2023 ini, sementara Model Y bermula awal tahun 2024 kelak.