Tular semalam di TikTok dan media sosial mengenai surat “Letter to America” yang ditulis oleh Osama bin Laden menerangkan mengapa serangan 9/11 dilakukan. Walaupun surat ini telah diterbitkan pada tahun 2002, ia kembali menjadi topik perbualan kerana berkait rapat dengan konflik kemanusiaan yang sedang berlaku di Gaza.
Kerana surat ini kembali tular, akhbar The Guardian memadamnya daripada laman web semalam secara mengejut. Di Amerika Syarikat perbincangan mengenai “Letter to America” menjadi topik yang sangat kontroversi kerana ramai pengguna TikTok mengatakan mereka bersetuju dengan apa yang dilakukan oleh Bin Laden. Muncul perbincangan untuk mengharamkan TikTok di kalangan ahli politik Amerika kerana platform membenarkan video yang menyokong serangan 9/11 serta elemen keganasan.
Oleh sebab itu TikTok telah memadam semua video yang membincangkan warkah Bin Laden dan menghalangnya daripada di muat naik di masa depan. Menurut TikTok lagi ini adalah kandungan yang dilabel sebagai pro kegiatan keganasan adalah melanggar terma dan syarat platform. Pada waktu yang sama TikTok menafikan video mengenai topik ini tular di platform mereka dan hanya sekadar melibatkan sebahagian kecil pengguna sahaja.
Di Malaysia TikTok juga didakwa memadam kandungan pro-Palestin tetapi mereka berkata yang dipadam hanya video yang menyentuh topik Hamas yang dilabel sebagai sebuah organisasi pengganas.