Ray-Ban Meta adalah antara cermin mata pintar yang dipasarkan tahun ini dan kami sempat mengujinya ketika acara Snapdragon Summit beberapa minggu lalu. Hari ini ketika acara Mediatek Tech Summit, Meta mengumumkan mereka akan muka menggunakan keluaran MediaTek pada cermin mata pintar AR mereka yang seterusnya.
Pengumuman yang pastinya mengejutkan Qualcomm kerana selama ini Meta menggunakan cip mereka secara eksklusif. Cermin mata Ray-Ban Meta misalnya menggunakan cip Snapdragon AR1 Gen 1. Cip yang bakal digunakan kelak akan dibangunkan bersama oleh MediaTek dan Meta. Tiada tarikh bila cermin mata pintar seterusnya akan dilancarkan oleh Meta. Kerjasama juga terhad kepada cermin mata pintar sahaja dan bukannya set kepala XR seperti Meta Quest yang masih kekal dengan cip Qualcomm.
Terdapat ura-ura Meta mempunyai perancangan melancarkan cermin mata pintar dengan kemampuan realiti terimbuh (AR) di masa hadapan. Ia produk yang sudahpun ditawarkan oleh Oppo baru-baru ini. Yang pasti menerusi kerjasama dengan Meta, MediaTek tidak lagi boleh dilihat sebagai pengeluar cip murahan kerana produk mereka kini semakin setanding dengan yang ditawarkan Qualcomm dan Exynos.