Carian
Instagram Dikemaskini Dengan Lebih Banyak Pilihan Suntingan
November 17, 2023 Amy Maizuraa

Instagram merupakan salah satu media sosial yang ramai penggunanya. Ia juga sering dimanfaatkan oleh mereka yang mempunyai hobi dalam dunia fotografi. Tambahan pula kini dalam era kecanggihan teknologi sistem kamera yang wujud pada telefon pintar.

Terbaharu beberapa kemaskini utama telah dibuat pada aplikasi bertujuan memberi lebih banyak kemudahan suntingan baharu buat pengguna. Kemaskini itu melibatkan keseluruhan ciri dan fungsi yang ada seperti Reels, Post, Stories dan Carousels. Dalam masa sama turut bantu pengguna memahami prestasi kandungan dengan lebih baik menerusi Reels Insight serba baharu.

Melaluinya proses menghasilkan video menjadi semakin mudah dengan beberapa pilihan suntingan baharu seperti scale, crop, rotate, undo dan redo. Antaramuka juga nampak lebih kemas dengan rekaan yang serupa ditawarkan pada aplikasi TikTok. Turut disediakan ialah Media Clip Hub untuk mengakses kandungan yang boleh disunting dengan alatan AI bagi mencipta pelekat misalnya untuk ditambah ke dalam Reels.

Selain itu Instagram juga menambah sehingga 10 pilihan suara teks di samping enam gaya teks baharu dalam pelbagai bahasa. Sebagai tambahan pengguna turut boleh menambah rangka atau garis pada teks tersebut untuk kejelasan lebih baik.

Dalam pada itu akses audio juga menjadi lebih mudah dengan cara baharu untuk penyemak imbas audio. Dalam masa sama sokongan draf juga juga diberi nafas baharu dengan paparan suntingan yang lebih mudah dan kemas. Di mana pengguna kini boleh pra-tonton, menamakan semula dan menjadualkan draf terlebih dahulu.

Dengan kemaskini baharu juga Instagram telah menambah beberapa penapis foto baharu, di samping turut menambaik sokongan Reels Insight bagi membantu pengguna memahami jenis kandungan yang boleh meraih tontonan lebih lama.

Kesemua ini turut telah diumumkan oleh Adam Mosseri yang merupakan ketua pegawai eksekutif Instagram menerusi video pendek di akaun rasmi.

Komen