Carian
Meta Umumkan AI Emu Yang Menjana Video Dan Menyunting Gambar Menggunakan Teks
November 18, 2023 Effi Saharudin

Meta AI mengumumkan dua model terkini kecerdasan buatan (AI) mereka iaitu Emu Video dan Emu Edit yang mempunyai kemampuan yang cukup menarik. Emu Video boleh menjana video pendek berdasarkan teks yang dimasukkan oleh pengguna.

Menerusi Emu Video video dengan resolusi 512×512 pixel sepanjang 4 saat dijana dengan kadar 16FPS. Model ini adalah lebih baik berbanding model Make-A-Video yang diperlihatkan oleh Meta AI sebelum ini. Emu Video turut memproses dengan lebih pantas kerana hanya memerlukan dua model untuk menjana video berbanding lima yang diperlukan Make-A-Video.

Emu Edit pula memudahkan proses menyunting imej yang telah dijana oleh AI. Antara isu apabila menggunakan AI generatif ialah mengubah sebahagian kecil bahagian imej yang telah dijana. Dengan Emu Edit pengguna boleh memasukkan prom dan bahagian yang ingin diubah sahaja akan disunting.

Meta AI mengatakan Emu Video dan Emu Edit boleh digunakan dalam aplikasi pemesejan. GIF beranimasi boleh dijana Emu Video secara terus oleh pengguna tanpa perlu mencari GIF menerusi galeri dalam aplikasi. Emu Edit pula boleh menyunting gambar yang diambil oleh pengguna tanpa mereka mempunyai sebarangan kemahiran aplikasi suntingan seperti Photoshop.

Komen