Samsung juga dikenali sebagai pengeluar gelang tangan pintar, dan setiap satunya mempunyai tujuan untuk kepelbagaian aktiviti fizikal. Kini generasi baharu untuknya didapati tertiris dalam beberapa imej tular yang turut menunjukkan reka bentuk penuh.

Dikenali sebagai Galaxy Fit3, paparan utama kini dilihat lebih besar yang boleh dimanfaatkan untuk lebih banyak aktiviti. Kerangka juga dilihat lebih bersegi yang turut menempatkan butang fizikal tunggal di sisi kanan. Dapat diperhatikan juga adanya lubang kecil yang memberikan gambaran sokongan mikrofon boleh disertakan.

Tali pula sejenis silikon dengan beberapa pilihan warna seperti hitam, putih dan merah jambu. Kemudian boleh diikuti juga dengan sensor kesihatan dan kecergasan standard yang termasuk penjejakan waktu tidur, pemantauan kadar jantung dan kiraan langkah.
Tiada tarikh pelancaran yang didedahkan buat masa ini. Persoalan sama ada Samsung berhasrat memperkenalkannya bersama siri Galaxy S24 kelak juga masih belum dapat dipastikan lagi.