Gabungan memori kepada komponen CPU secara terus bukanlah sesuatu yang baru. AMD sudah melakukannya dengan teknologi 3D V-cache mereka.
Terkini, pembuat dan pembangun memori terkemuka SK Hynix dilaporkan mahu cuba melakukan perkara yang sama dengang menggabungkan memori HBM4 (High Bandwidth Memory 4) mereka kepada komponen pemprosesan, dan mereka dilihat telah bertanyakan kepada NVIDIA tentang kerjasama ini.
Secara lazimnya, bagaimana gabungan cip pemprosesan dan memori akan berlaku ialah pada papan litar yang sama, cip pemprosesan anda cip memori akan disambungkan kepada satu sama lain menggunakan interposer ataupun sebuah antaramuka elektrik yang membolehkan kedua-dua komponen ini untuk menghantar data antara satu sama lain menggunakan isyarat elektrik.
Idea SK Hynix ialah untuk tidak menggunakan komponen interposer ini, dan menyambungkan terus komponen memori HBM4 terus kepada litar komponen pemprosesan. Kelebihan menggunakan teknik pembangunan ini ialah ia mengurangkan kos pembuatan interposer yang rumit dan mahal, dan memudahkan lagi rekaan komponen SoC ataupun cip pemprosesan.
Walaupun begitu, rekaan sebegini mempunyai isunya yang tersendiri, seperti suhu komponen apabila ia beroperasi pada 100 peratus. Selain daripada komponen cip pemprosesan, memori HBM juga dilihat memakan kuasa yang banyak. Oleh itu, selain daripada penggunaan kuasa yang tinggi, suhu komponen juga dilihat sebagai salah satu isu idea ini.
Diantara idea yang diberikan termasuklah penggunaan sistem penyejukan cecair, ataupun merendamkan komponen-komponen ini dalam cecair penyejuk yang tidak mengkondusikan elektrik. Walaupun begitu, ia dikatakan bahawa untuk cara ini benar-benar berfungsi dengan baik, cip memori harus dibangunkan menggunakan proses yang sama dengan cip logik (CPU).
Masalahnya ialah pada ketika ini, merekacipta dan mengeluarkan memori sebegitu akan menyebabkan kos memori untuk naik secara mendadak, dan untuk masa terdekat ini ia bukanlah sesuatu yang dipertimbangkan secara serius.
Buat masa ini, ia dilaporkan bahawa SK Hynix dan NVIDIA akan merekacipta sebuah cip serba-baru sebagai sebuah konsep untuk melihat sama ada idea ini adalah sesuatu yang boleh digunapakai dengan senario dunia sebenar.