Carian
MediaTek Filogic 860 Dan 360 Sedia Untuk Menguasakan Penghala WiFi 7 Pada Pertengahan 2024
November 20, 2023 Nazrin

Banyak yang telah diperkatakan mengenai teknologi penghala WiFi 7 yang diperkenalkan pada penghujung 2022, tentang bagaimana ia kini menyokong kelajuan yang lebih pantas dan juga frekuensi yang lebih banyak dan mempunyai keluasan rangkaian yang lebih besar.

MediaTek, syarikat pembuat cip peranti dan perkakasan elektronik terkemuka baru-baru ini telah memperkenalkan dua cip WiFi 7 mereka, iaitu MediaTek Filogic 860 dan Filogic 360 yang sedia untuk menguasakan perkakasan penghala WiFi 7 tidak lama lagi.

MediaTek Filogic 860 hadir menggunakan cip Arm Cortex-A73 tiga teras yang dibina menggunakan proses 6nm. Cip ini menyokong WiFi dwi-saluran Multi-Link Operation (MLO) dengan kelajuan penghantaran data sehingga 7.2Gbps.

Cip Filogic 360 pula ialah sebuah solusi satu cip untuk sambungan ke rangkaian WiFi 7 dan Bluetooth 5.4 yang boleh dimanfaatkan oleh pelbagai jenis peranti, termasuklah komputer riba, peranti pintar, set top box dan sebagainya.

Cip ini tampil dengan sokongan tiga saluran WiFi, termasuklah 2.4GHz, 5GHz dan 6GHz yang menyokong kelajuan sambungan internet sehingga 2.9Gbps. Cip ini juga dilihat menyokong teknologi MLO yang membolehkan peranti untuk disambungkan ke frekuensi-frekuensi berbeza sekaligus, memaksimakan kelajuan sambungan internet sebaik yang mungkin.

MediaTek mengatakan bahawa kedua-dua cip ini sudahpun mula dihantar kepada pembuat-pembuat perkakasan internet sebagai sampel, dan menjangkakan bahawa pengeluaran besar-besaran untuk kedua-dua cip WiFi ini akan dibangunkan secara besar-besaran bermula pertengahan tahun 2024 kelak.

Komen