Cari @ Amanz

FiiO ialah sebuah jenama audio yang cukup terkenal untuk perkakasan amplifier audio mereka. Baru-baru ini, mereka dilihat telah memasuki arena aksesori komputer pula, dan telah membangunkan sebuah papan kekunci yang dinamakan FiiO KB3.

Terkini, FiiO telah memperkenalkan edisi HiFi papan kekunci ini, yang mana ia hadir dengan op-amp dan DAC (Digital-Analog Converter) yang terbina. Menurut laman web Jade Audio, FiiO telah memuatkan dua cip DAC CS43131 didalamnya, dan mempunyai dua palam 3.5mm dan 4.4mm dual-balance yang boleh memandu fon kepala dengan nilai kuasa setinggi 550mW.

Papan kekunci ini hadir dengan saiz 75% dan menggunakan suis mekanikal Gateron GPro 3.0 Linear. Rangka papan kekunci ini diperbuat daripada aloi magnesium-aluminum untuk memastikan ia ringan, tetapi masih lagi teguh. Ia juga hadir dengan sistem tindanan gasket untuk pengalaman menaip yang lebih selesa.

Secara teknikalnya, papan kekunci FiiO KB3 ini juga hadir dengan variasi nirwayar, dimana pengguna boleh menyambungkannya ke peranti menggunakan sambungan WiFi ataupun Bluetooth, tetapi untuk papan kekunci ini, ia tidak mempunyai kombinasi op-amp dan DAC didalamnya. Ia hadir dengan bateri sebesar 400mAH terbina.

Selain daripada Jade Audio, papan kekunci FiiO KB3 HiFi juga dijual di AliExpress pada harga $149.99. Model Wireless papan kekunci ini pula dijual pada harga $129.99.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd