Setelah beberapa tahun pelancaran Smart #1 harini ia secara rasminya telah dilancarkan di Malaysia menerusi pengedarnya iaitu Proton melalui PRO-NET yang turut bertanggungjawab untuk pengedaran kereta ini di Malaysia dan Thailand.
Smart #1 merupakan kereta elektrik kompak dengan rekaan menarik dan membawakan pelbagai kemasan dan ciri premium seperti pintu tanpa rangka cermin, bumbung kaca panoramik, kapasiti storan bagasi seluas 323 liter yang boleh dibesarkan sehingga 986 liter, 13 pembesar suara Beats , dan bermacam lagi.

Dari segi prestasi, ia mempunyai enjin berkuasa 200 kW dengan tork 343nm dengan prestasi pecutan 0-100km/j 6.7 saat untuk versi smart #1 Pro dan Premium dari bateri berkapasiti 66 kWh yang menawarkan jarak perjalanan sehingga 440km, serta boleh dicaj sehingga 80% dalam tempoh 30 minit melalui pengecasan 150kW DC.
Bagi smart #1 Brabus, ia dibezakan dari segi kemasan yang lebih premium antaranya kemasan stering dilengkapi fabrik Alcantara, rim tayar 19-inci, kit badan tambahan dan dari segi prestasi yang lebih iaitu enjin 315 kW dengan tork 543nm yang boleh memecut 0-100 km/j dalam tempoh 3.9 saat. Malah pilihan warna yang ditawarkan turut berlainan, memberikan sentuhan Mercedes pada kereta elektrik ini.

Terdapat tiga variasi smart #1 yang ditawarkan iaitu smart #1 Pro pada harga RM 189,000, smart #1 Premium pada harga RM 219,000 dan juga smart #1 BRABUS pada harga RM 249,000 . Untuk ketiga-tiga model ini, harga yang dinyatakan diatas adalah tidak termasuk insurans dan anda turut boleh memilih warna khas Atom Grey – Matte dengan tambahan harga RM 5,000.

Dari segi jaminan, pengguna mendapat jaminan bateri selama 8 tahun atau 200,000km serta jaminan komponen voltan tinggi selama 8 tahun atau 150,000 km. Pengguna juga akan mendapat jaminan kenderaan selama 4 tahun tanpa had perjalanan, serta 2 tahun jaminan barang tukar ganti, tanpa had perjalanan. Terdapat pakej-pakej menarik turut ditawarkan seperti pengecas smartCharge, data internet percuma selama 5 tahun berjumlah 60GB, dan juga tawaran insurans serta pakej aksesori bernilai RM 2,000.


Bagi anda yang berminat, anda boleh hadir ke pengedar sah terdekat atau muat turun sahaja aplikasi dari Apple App Store, Google Play Store, atau HUAWEI App Gallery atau layari laman rasmi Smart #1 Malaysia.