Kamera aksi Insta360 Ace dan Ace Pro telah dilancarkan secara rasmi hari ini. Seperti imej yang diacah sebelum ini, kedua-dua kamera hadir dengan lensa yang dibangunkan dengan kerjasama Leica.

Kita mulakan dengan model paling mercu Insta360 Ace Pro yang dilengkapi sensor 1/1.3″ 48MP yang dipadankan dengan lensa Leica. Ia boleh melakukan rakaman video 8K 24P atau 4K 120P. Sebuah skrin 2.4″ LCD sesentuh di belakang boleh dilipat ke depan untuk mod vlogging lebih mudah. Keseluruhan tubuh adalah tahan lasak serta melepasi piawaian kalis air sehingga kedalaman 10 meter dan sehingga 60 meter menggunakan aksesori kerangka menyelam.

Sementara itu Insta360 Ace pula dilengkapi sensor 1/2″ 48MP tetapi dipadankan dengan lensa biasa sahaja. Kemampuan rakaman video sehingga 6K 30p dan juga 4K 120P. Masih mempunyai skrin sesentuh 2.4″ yang boleh diputarkan ke hadapan untuk mod swavideo dan ketahanan menyelam yang sama. Beza hanyalah model ini ditawarkan pada harga yang lebih mampu milik.

Seperti kesemua kamera Insta360 di pasaran sekarang ia mempunyai ciri pintar menstabilkan video, rakaman sela masa yang panjang, mengesan aksi yang berlaku, sokongan aplikasi memindahkan video dan memadam tangkai swavideo daripada video yang dirakam. Di Amerika Syarikat harga jualan Insta360 Ace bermula $369 (~RM1722) sementara Instaer360 Ace Pro pula bermula $443 (~RM2067).