Xiaomi ialah sebuah jenama teknologi China yang dikenali untuk peranti-peranti pintar mereka, tetapi mereka juga dilihat membangunkan peranti-peranti komputer riba untuk tujuan produktiviti dan riadah.
Terkini, sebuah komputer riba “Xiaomi TM221” telah diuji di laman-laman web penanda-aras Geekbench yang memperlihatkan skor penanda-aras untuk komputer dengan cip pemprosesan Intel Core i9-14900HX dan Intel Core i9-14500HX yang belum dilancarkan lagi.
Model Xiaomi TM221 ini kebarangkalian ialah komputer riba kelas gaming Redmi G mereka yang pernah dilancarkan sebelum ini. Sayangnya untuk penanda-aras ini, spesifikasi lain seperti memori, storan dan kad grafik yang digunakan tidak diperlihatkan.
Skor penanda-aras teras tunggal cip pemprosesan Intel Core i9-14900HX diperlihatkan pada 2701, manakala skor multi-teras cip pemprosesan ini diperlihatkan pada 15,586, yang lebih rendah daripada jangkaan ramai. Walaupun begitu, ia dilihat bahawa cip pemprosesan yang diuji ini mungkin adalah versi yang belum dikemaskini, dan ia adalah sebab mengapa skor penanda-aras tidak begitu hebat lagi.