Coros Apex 2 Pro Gobi Edition Disenaraikan Di Malaysia Pada Harga RM2,199
Amy Maizuraa
Coros Apex 2 Pro Gobi kini di Malaysia dan perkara ini diumumkan menerusi beberapa kemaskini baharu di media sosial rasmi. Ia dijual pada RM2,199 seutas yang boleh dibeli menerusi pengedar sah Coros Malaysia. Antara perkara penting yang perlu diberi perhatian hanya 1,500 unit sahaja dihasilkan di seluruh dunia yang bermakna ketersediaan unit semestinya amat terhad.

Coros Apex 2 Pro Gobi merupakan seutas jam tangan tahan lasak sesuai untuk aktiviti pendakian. Dari aspek rekaan ia menggunakan kerangka bulat bersama skrin kaca nilam dan bezel aloi aluminium gred 5. Ini digabung pula dengan tombol berputar dan butang fizikal tunggal di bahagian sisi bagi tujuan kawalan tambahan.


Skrin adalah sejenis LCD sesentuh dengan saiz 1.3-inci dan resolusi 260 X 260 piksel. Pelbagai sensor kesihatan dan kecergasan terbina disertakan temasuk pemantauan kadar jantung, suhu badan, pulse oximeter dan Electrocardiogram (ECG). Penggunaan bersama aplikasi COROS APP amat disarankan untuk pengalaman lebih baik.

Dalam masa sama peranti turut serasi bersama aplikasi pihak ketiga lain seperti Nike Run Club, Komoot, TrainingPeaks, Strava, Relive, adidas Running dan Apple Health. Bateri disertakan pula boleh bertahan sehingga 30 hari dengan penggunaan biasa, seterusnya pengecasan semula boleh dibuat kurang daripada 2 jam.

Lain-lain spesifikasi yang disokong termasuklah memori 32GB RAM, GPS, GLONASS, Galileo, Beidou, QZSS, sistem peta (perlu dimuat-turun), pemain muzik dan kalis air 5ATM.
[info] Sumber – COROS Malaysia [/info]