Instagram menerusi kemas kini baharu membolehkan pengguna memuat turun video Reels pada telefon pintar. Fungsi ini pada awalnya hanya diedarkan dalam kalangan pengguna di Amerika Syarikat namun kini mula diperluaskan secara global pula untuk dicuba.
Melihat tangkap layar yang dikongsi, penggunaannya lebih kurang sama seperti TikTok. Di mana pengguna boleh menyimpan sebarang video daripada akaun terbuka secara terus pada telefon pintar dengan hanya mengetik butang khusus disediakan. Ia boleh diakses dengan menekan ikon kongsi (Share) yang kemudiannya terdapat butang muat-turun (Download) khusus untuk meneruskan proses menyimpan.
Antara perkara penting yang perlu diberi perhatian setiap video disimpan akan mempunyai tera air pemilik. Dalam masa sama fungsi ini turut boleh dinyahaktif menerusi ruang tetapan bagi pengguna yang enggan membenarkan Reels miliknya dimuat-turun oleh orang ramai/pengikut.
Buat masa ini, semakan menerusi akaun peribadi kami bagaimanapun belum menerima sebarang fungsi yang dinyatakan. Justeru kita boleh menganggap ia diperkenalkan secara berperingkat kepada pengguna Instagram.
- Sumber – Adam Mosseri