ASUS Mengumumkan Dual GeForce RTX 4060 Ti SSD – Kad Grafik Dengan Slot Storan SSD PCIe Terbina
Nazrin
Sewaktu acara COMPUTEX Taipei pada tahun ini, ASUS telah memperlihatkan sebuah penawaran kad grafik yang hadir dengan slot storan SSD M.2, dan terkini, ciri tersebut sudahpun diperkenalkan sebagai sebuah produk yang boleh dijual kepada golongan pengguna dan mereka yang mahu membina sebuah komputer baru.
Kad grafik ini ialah ASUS Dual GeForce RTX 4060 Ti SSD iaitu sebuah kad grafik ASUS Dual GeForce RTX 4060 Ti yang hadir dengan slot SSD M.2 di bahagian belakang kad grafik ini. Ini membolehkan pengguna untuk menambahkan jumlah storan yang boleh dipasang pada komputer mereka menggunakan lorong PCIe x16 yang digunakan khusus untuk kad grafik sahaja.

ASUS mengatakan lagi bahawa slot storan SSD ini menyokong komponen SSD PCIe 5.0, tetapi ia juga menyokong SSD PCIe 4.0 dan 3.0 tanpa masalah.
Walaupun begitu, ASUS mengatakan bahawa untuk menggunakan slot SSD pada kad grafik ini, papan induk yang digunakan haruslah boleh memisahkan lorong x16 tersebut kepada lorong x8x8 ataupun x8x4x4, kerana slot storan tersebut memerlukan sekurang-kurangnya lorong PCIe x4 untuk berfungsi.

Menurut ASUS, satu lagi kelebihan memasang SSD pada kad grafik mereka ialah sistem penyejukan Dual-Axial mereka mampu menyejukkan SSD ini dan membolehkannya beroperasi pada suhu optima.
Dalam pada itu, ASUS juga telah memperlihatkan senarai papan induk mereka yang menyokong kad grafik ASUS Dual GeForce RTX 4060 Ti SSD ini. Senarai ini memperlihatkan papan-papan induk untuk platform AMD dan juga Intel.

Buat masa ini, ASUS masih belum memperlihatkan tanda harga untuk kad grafik ini, mahupun tarikh jualannya, tetapi sebagai sebuah produk ia sudahpun diperlihatkan di laman web mereka.