One UI 6 Dilaporkan Tiada Perlindungan “Burn In” Pada Skrin
Fahim Zahar
Mana-mana peranti yang menggunakan panel skrin OLED pasti akan ada risiko untuk menghadapi masalah burn in pada skrin. Burn In adalah masalah di mana imej pada skrin “terbakar” sehingga kekal dipaparkan walaupun telah berubah ke imej yang lain. Isu ini menghantui majoriti TV OLED generasi awal. Peranti Samsung yang menjalankan One UI 5 tidak mengalami masalah ini kerana perisian terdapat ciri menggerakkan piksel secara rawak sebagai satu kaedah perlindungan.

Android Authority melaporkan yang One UI 6 mungkin tidak menyediakan ciri perlindungan ini berdasarkan hantaran yang dinaikkan oleh u/dragosslah di Reddit. Tanpa perlindungan ini, peranti Samsung yang menjalankan One UI 6 boleh kehilangan warna, menjadi semakin pudar dan kemudian boleh berlaku masalah piksel mati. Berikut adalah ujian yang dilakukan untuk menyemak sama ada perlindungan ini ada ataupun tidak;
- Lakukan tangkapan layar dengan bar status (memaparkan bateri dan kekuatan isyarat selular) masih terpapar.
- Putar peranti ke mod melintang dan kemudian kembali menegak sekitar 5 kali (pergerakan yang banyak pada kandungan skrin akan mengaktifkan ciri ini sepatutnya)
- Buka tangkapan layar tadi dan lihat sama ada adakah imej akan berlapis ataupun tidak.
- Jika imej berlapis bermakna wujud perlindungan dan sebaliknya pula jika imej tidak berlapis.
Isu ini walau bagaimanapun dilihat tidak konsisten kerana hanya berlaku pada bahagian bar status sahaja. Pada bahagian bar navigasi isu ini tidak berlaku. Diharapkan Samsung akan mengedarkan kemas kini agar skrin peranti pengguna boleh bertahan lebih lama selepas mengemaskini kepada One UI 6.
[sumber] Reddit [/sumber]