Carian
Korea Selatan Dijangka Memperkenalkan Matawang Digital Seawal Tahun Hadapan
November 24, 2023 Nazrin

Kerajaan Korea Selatan, melalui bank pusat mereka, Bank of Korea dilaporkan akan memperkenalkan matawang digital mereka sendiri pada tahun depan, dan akan diuji keberkesanan penggunaannya oleh 100 ribu individu terpilih.

Bank of Korea akan menggunakan konsep Central Bank Digital Currency (CBDC), iaitu sebuah konsep matawang digital yang dikeluarkan oleh bank pusat sendiri, dan bukan bank-bank digital yang menggunakan wang digital mereka sendiri.

Projek perintis ini, yang dijangka akan bermula pada suku keempat tahun 2024 kelak akan memperlihatkan Bank of Korea mengeluarkan token deposit yang dikeluarkan dalam bentuk CBDC, dan akan diagihkan ke bank-bank tempatan yang terpilih, yang kemudiannya akan diberi kepada 100 ribu pengguna terpilih yang akan membolehkan para pengguna ini untuk membeli-belah di kedai-kedai disana.

Menurut laporan dari The Korea Times, matawang digital ini boleh digunakan sama seperti sistem baucer yang digunakan sewaktu wabak COVID-19, tetapi dengan pelbagai cabaran dan halangan dikurangkan, seperti bayaran transaksi yang tinggi, pengesahan transaksi yang perlahan dan kes-kes penipuan.

Walaupun begitu, untuk projek perintis CBDC ini, penggunaan matawang digital ini adalah terhad kepada pembelian barang-barangan sahaja. Untuk tempoh projek tersebut, perkhidmatan seperti kiriman wang menggunakan CBDC ini adalah tidak dibenarkan.

Komen