Semalam Dbrand dan JerryRigEverything memfailkan saman ke atas Casetify yang didapati mencuri rekaan pelbagai kerangka mereka. Hari ini mereka didapati turut mencuri imej imbasan sinar X yang dihasilkan oleh iFixit pada kerangka “X-Ray” yang dijual oleh mereka.
Penggunaan imej iFixit ini ditemukan oleh Dbrand yang turut baru sahaja melancarkan kerangka imbasan X-Ray mereka semalam. CEO iFixit Kyle Wiens telah mengucapkan terima kasih kepada Dbrand kerana melaporkan kepada mereka mengenai penggunaan imej tanpa kebenaran. Tidak seperti Dbrand, iFixit belum mengeluarkan kenyataan sama ada mereka turut akan menyaman Casetify.
Tindakan Casetify memplagiat rekaan dan menggunakan imej tanpa kebenaran ini adalah amat memalukan. Semalam Casetify mengatakan mereka telah menarik jualan beberapa kerangka yang dikatakan meniru rekaan Dbrand serta memulakan siasatan dalaman bagaimana ia boleh berlaku.