Honor hadir dengan fon telinga Earbuds X6 TWS baharu dengan rekaan terbuka bersama pod pengecas bujur. Ini dipadankan dengan set pemandu audio sebesar 10mm yang menggunakan diafragma bersalut bahan komposit polimer. Di samping turut menyokong pembatalan hingar berasaskan AI dan penyahkodan definisi tinggi Hi-Fi 5 DSP.
Tambatan pantas pula menerusi bluetooth 5.3, dalam masa sama turut melepasi piawaian IP54 yang membolehkannya digunakan ketika bersenam. Bateri disertakan pula boleh bertahan mencapai 9 jam dengan penggunaan fon telinga. Kemudian meningkat menjadi 40 jam dengan bantuan pod pengecas dan boleh dimainkan selama 3 jam dengan pengecasan 10 minit.
Kesemua ciri dan fungsi ini telah dimuatkan ke dalam set fon telinga nirwayar dengan berat sekitar 3.8g bersama pilihan warna putih dan ungu. Honor Earbuds X6 dijual di China dengan harga RMB299 (~RM195) dan tiada ketersediaan di Malaysia diketahui buat masa ini.