OnePlus 12 adalah peranti mercu baharu OnePlus yang akan dilancarkan di China 5 Disember ini. Peranti ini akan dijana dengan cip Snapdragon 8 Gen 3, kekal menggunakan kamera Hasselblad, menyokong USB 3.2 serta kamera yang menyokong zum optikal sehingga tiga kali. Baru-baru ini, OnePlus telah memperlihatkan rekaan peranti ini secara rasmi.
Peranti ini dilihat masih menggunakan rekabentuk yang lebih kurang sama dengan OnePlus 11, di mana bonggol kamera besar berbentuk bulat berada di belakang di atas panel besi yang bergabung dengan sisi peranti. Perbezaan paling ketara adalah butang laras suara yang kini dialihkan ke sisi kiri berbanding di kanan sebelum ini. Kemudian butang lungsur notifikasi yang dipindahkan ke sisi kanan bagi memberi ruang antena baharu.
OnePlus turut menunjukkan tiga pilihan warna yang mereka akan jual di China iaitu hijau zamrud dengan tekstur marmar, warna hitam dengan kemasan sandstone ikonik mereka serta selepas bertahun tidak ditawarkan – warna putih kembali mengingatkan saya kepada OnePlus One Silk White.
Buat masa ini masih tidak pasti sama ada penawaran StyleSwap iaitu panel belakang boleh-tukar aka ditawarkan atau tidak kerana minggu lepas terdapat laporan yang OnePlus 12 akan hadir dengan pilihan kemasan kayu. Ia mungkin adalah edisi khas atau kerangka. Sama-sama kita nantikan butiran lanjut mengenai peranti ini.