Proton S70 akhirnya dilancarkan secara rasmi untuk pasaran tempatan pada harga yang pastinya mengejut peminat kenderaan segmen C. Kereta sedan ini mungkin jatuh ke dalam segmen C tetapi harga jualannya lebih setara kenderaan segmen B yang lebih kecil seperti Honda City. Di Malaysia harga jualan S70 bermula daripada RM 73,800 sebuah untuk model Executive.

Ini kemudiannya meningkat ke RM 79,800 untuk model Premium, RM 89,800 untuk model Flagship dan RM 94,800 untuk model Flagship X yang paling mercu di antara keempat-empat model yang dihasilkan Proton. Perbezaan antara model ialah tiada sistem ADAS pada model Premium dan Executive yang boleh dikatakan sedikit mengecewakan bagi kenderaan 2023.

Walaupun begitu Proton masih menyertakan enam beg udara serta enjin 1.5L turbo yang menghasilkan 150 kuasa kuda sebagai standard. Ini dipadankan kepada sistem 7 gear automatik dwi-klac dengan kawalan manual. Pemilik boleh memilih tiga mod pemanduan iaitu Eco, Comfort atau Sport.

Di dalam kabin terdapat skrin info hibur sesentuh sebesar 12.3″ yang turut boleh dikawal menggunakan arahan suara “Hi Proton”. Penstriman muzik daripada telefon pintar boleh dilakukan tetapi tanpa sokongan Android Auto atau Car Play. Lima port USB-A diletakkan dalam kabin untuk keperluan pelbagai peranti elektronik serta pengecas nirwayar di bahagian hadapan.

Setiap kenderaan juga hadir dengan insurans selama lima tahun tanpa had batuan, dan perkhidmatan buruh percuma sebanyak enak kali ketika melakukan servis kenderaan. Bagi pembeli Flagship dan Flagship X pula, data percuma 1GB sebulan juga diberikan untuk lima tahun pertama.