Viu Malaysia hari ini berkongsi sejumlah perkembangan berkenaan syarikat mereka, mengatakan kini mempunyai lebih 65.5 juta pengguna aktif bulanan, dan 11 juta pelanggan berbayar secara keseluruhan di lebih 16 pasaran ia beroperasi. Angka pengguna untuk pasaran Malaysia tidak dikongsikan, namun Viu menyatakan Malaysia adalah antara pasaran dalam kedudukan lima teratas yang menggunakan dan melanggan perkhidmatan penstriman berkenaan.

Untuk rantau Asia Tenggara sahaja, Viu mempunyai angka pengguna berbayar yang paling ramai – mendahului Netflix, Disney+ dan juga WeTV. Viu turut menyatakan mereka mempunyai angka pengguna aktif bulanan kedua tertinggi di rantau ini selepas Netflix, dan mempunyai masa tontonan kedua tertinggi selepas Netflix.
Bergerak ke tahun 2024, Viu menyasarkan untuk terus menambah siri-TV terbitan eksklusif untuk platform mereka. Sebanyak 6 siri-TV asli akan diterbitkan pada tahun 2024, dan 5 lagi dilesenkan untuk platform berkenaan. Antara siri TV baharu yang akan hadir adalah Terlanjur Cinta, Nafsu, Gadis Masa, The Secret, From Saga With Love 2, dan juga adaptasi bahasa Malaysia untuk siri TV Strong Girls Bong-Soon.

Pihak Viu menyatakan akan terus melabur dan menyokong kandungan tempatan, dan mengekalkan mutu kandungan yang diterbitkan melalui platform mereka. Untuk tahun 2024 juga, beberapa aktiviti bertemu artis bersama peminat akan dianjurkan khusus untuk pengguna Viu.
Dengan perkembangan sihat ini, sama-sama kita nantikan persaingan sihat dalam arena penstriman video yang seterusnya akan turut membawa kepada perkembangan sihat dalam arena kandungan tempatan ini. Viu ditawarkan dalam bentuk percuma dengan sokongan iklan, atau pada harga langganan untuk akses kandungan tanpa had pada harga RM29.90 untuk akses selama tiga bulan.