Carian
IQOO Mengesahkan Pengenalan Siri Neo9 Pada Disember 2023
November 29, 2023 Amy Maizuraa

IQOO secara rasminya mengesahkan kehadiran siri Neo9 yang dijadualkan tiba pada Disember. Bukan itu sahaja bahkan poster rasmi juga mendedahkan reka bentuk pada peranti dalam kemasan serba merah dan perak. Tetapi tiada pula tarikh khusus dinyatakan, begitu juga dengan bilangan peranti yang akan ditawarkan kelak.

Berbalik pada reka bentuk peranti mempunyai dua bonggol kamera di belakang. Bahan berasaskan kulit juga digunakan pada panel belakang tersebut yang juga dilengkapi tubuh sepenuhnya berkotak dan rata. Bukan itu sahaja bahkan butang kuasa dan laras audio turut melengkapi sisi kanan peranti.

Spesifikasi utama peranti masih berstatus rahsia setakat ini namun ia dipercayai hadir dengan skrin 6.78″ beresolusi 1.5K dan dijana dengan cip Snapdragon 8 Gen 2. Jika benar ia boleh dianggap peningkatan berbanding IQOO Neo8 yang menggunakan cip Snapdragon 8+ Gen 1. Selain itu peranti juga boleh mempunyai sensor utama berasaskan Sony IMX920 dan sistem pengecasan pantas 120W.

Komen