Bagi menambah pilihan untuk pengguna, Vivo V29 edisi merah jambu iaitu First Love telah diperkenalkan di Malaysia pada hari ini. Ia dijual pada RM1,799 sebuah dengan kotak hadiah eksklusif bernilai RM799 diberi percuma. Bagi yang berminat sesi pratempah telah dibuka sekarang menerusi pengedar sah Vivo di seluruh Malaysia.


Edisi istimewa ini hadir dengan padanan rona lembut bersama warna merah jambu yang mampu membangkitkan sisi feminin seseorang wanita dengan menyerlahkan penampilan lebih romantik. Konsep minimalis dipilih Vivo turut membuktikan bahawa kecantikan boleh diperoleh dengan konsep yang sederhana tanpa berlebihan dalam kemasan.

Tiada sebarang perubahan pada spesifikasi utama yang bermakna peranti dilengkapi skrin AMOLED 120Hz sebesar 6.78-inci dan beresolusi 2800 X 1260 piksel. Seterusnya cip Snapdragon 778G bersama memori 12GB RAM dan storan 256GB digunakan sebagai tunjang utama. Ini diikuti juga dengan kamera utama 50MP OIS + 8MP, swafoto 50MP dan bateri 4600mAh dengan pengecasan 80W.