Cari @ Amanz

Ericsson, syarikat pembuat komponen dan kelengkapan rangkaian (yang juga mempunyai perjanjian kerjasama dengan syarikat infrastruktur rangkaian 5G kebangsaan DNB) hari ini telah mengumumkan bahawa mereka telah mula membangunkan satu siri cip RAN (Radio Access Network) yang dikilangkan menggunakan teknologi pembuatan cip Intel 4.

Ini bermakna bahawa siri cip RAN Ericsson, yang terdiri daripada cip RAN Processor 6672 dan cip Radio Processor 6372 boleh menyokong sehingga 6 mod rangkaian 4G dan 5G sekaligus, yang merupakan penambahbaikan yang ketara berbanding dengan penawaran komponen Ericsson sebelum ini.

Cip-cip ini juga boleh menyokong penggunaan didalam bangunan dan di kawasan luar tanpa masalah, khususnya untuk rangkaian-rangkaian yang menggunakan frekuensi khusus untuk menyiarkan rangkaian internet mudah-alih untuk kawasan-kawasan ini.

Tetapi apa yang lebih menarik ialah cip-cip ini dibangunkan menggunakan proses pengilangan cip Intel 4 (4nm) melalui program IDM 2.0, yang mana Intel mahu menjadi salah satu daripada pengeluar cip semikonduktor terbesar di dunia. Intel juga dijangka akan bekerjasama dengan Ericsson di masa hadapan dan membangunkan cip-cip pemprosesan ARM dan beberapa klien lain menggunakan proses 18A (1.8nm) pada tahun 2025 kelak.

Intel sepatutnya dilihat memperkenalkan cip pemprosesan generasi ke-14 Meteor Lake mereka sebagai produk pertama Intel 4, tetapi ini juga merupakan sesuatu yang baik kerana ia bermakna bahawa Intel mempunyai klien yang mahu menggunakan khidmat pengeluaran cip semikonduktor mereka.

  • Sumber
  • Ericsson
© 2024 Amanz Media Sdn Bhd