Firefox mengumumkan bermula 14 Disember ini, sebanyak 400 Extensions akan dapat digunakan pada pelayar versi Android. Sebelum ini hanya sebilangan kecil Extensions ditawarkan berbanding ribuan yang boleh digunakan pada versi desktop.
Pada peringkat awal hanya 400 sahaja ditawarkan dengan perancangan untuk menawarkan lebih banyak lagi dalam masa terdekat. Extensions beroperasi seperti pemalam di Chrome yang boleh menambah ciri seperti menghalang iklan, pautan pantas berkongsi ke media sosial pilihan dan juga meletakkan kamus untuk memeriksa ejaan. Bagi memudahkan proses penghasilan Extensions untuk Android, Firefox telah berkongsi beberapa dokumentasi yang boleh digunakan pembangun.