Google merupakan salah satu syarikat teknologi yang sentiasa mencari cara untuk mengurangkan jejak karbon mereka dengan cara-cara yang unik seperti menggunakan penyejukan laut, tenaga solar dan angin untuk menguasakan pusat data dan sebagainya.
Terkini, Google dilaporkan menggunakan tenaga geoterma untuk membekalkan tenaga elektrik bersih ke sebuah pusat data di Arizona, Nevada. Google mengatakan mereka menggunakan teknik carigali petroleum moden untuk mengoptimasikan pengeluaran tenaga geoterma ini yang boleh membekalkan tenaga sepanjang masa.
Untuk projek ini, Google telah bekerjasama dengan sebuah syarikat bernama Fervo yang mempunyai kepakaran dalam mengoptimasikan penggunaan tenaga geoterma dan cara-cara untuk mendapatkannya. Untuk projek ini, Fervo menggunakan teknik carigali petroleum secara mendatar dimana mereka menggali sedalam 8000 kaki sebelum menukar kedudukan gerudi ke keadaan mendatar untuk mendapatkan tenaga haba geoterma ini.
Kabel gentian optik kemudiannya digunakan untuk menganalisa aliran dan suhu haba bawah tanah ini, dimana Fervo kemudiannya membangunkan sebuah telaga yang membantu dalam mendapatkan tenaga haba ini secekap yang mungkin dan boleh digunakan untuk menguasakan pusat data ini.
Google mengatakan bahawa penggunaan kuasa geoterma untuk menguasakan pusat data ini bukan sahaja tampil dengan kos yang paling rendah, tetapi penggunaan kuasanya adalah yang paling bersih kerana ia menukar tenaga geoterma ini ke tenaga elektrik dengan cara yang paling cekap sekali.
Walaupun begitu, satu kelemahan besar dalam penggunaan tenaga geoterma ini ialah ia perlu dilakukan di lokasi dimana tenaga ini boleh diakses, kerana tenaga haba ini tidak boleh dipindahkan secara jarak jauh.