Carian
XNote Adalah Buku Nota Fizikal Yang Dikuasakan ChatGPT
November 30, 2023 Fahim Zahar

Kebanyakan perkhidmatan AI generatif merupakan produk digital yang boleh diakses melalui laman web, aplikasi khas atau juga terbina di dalam aplikasi lain. Produk fizikal dengan AI masih agak terhad dengan antara yang mendapat perhatian ialah Humane AI Pin. Terbaru, di laman biayasama Kickstarter terdapat sebuah buku nota fizikal yang dikatakan dikuasakan dengan ChatGPT.

Buku ini adalah XNote. Ia ditawarkan dalam berkas di mana sebuah buku disediakan bersama-sama dengan sebatang pen pintar dan juga aplikasi. Setiap nota atau lakaran yang ditulis/lukis di dalam buku nota ini akan diselarikan secara masa nyata terus ke dalam aplikasi. Lebih menarik, dengan ChatGPT terbina pengguna boleh menggunakan pembantu maya terbina untuk bertanya soalan atau mengarahkannya untuk menjana kandungan baharu berdasarkan setiap nota atau lukisan sedia ada.

Misalnya, nota yang dicatat ketika mesyuarat boleh berubah menjadi satu carta. Ayat-ayat yang disalin daripada papan hitam di dalam kelas boleh dirumuskan atau dijadikan kuiz untuk ulangkaji. XNote turut menyokong sehingga 53 bahasa termasuk Bahasa Melayu untuk menterjemah teks di dalam buku nota. XNote disokong pada web, Android dan juga iOS.

Buat masa ini XNote hanya terhad dibeli melalui Kickstarter pada harga $249 (~RM1,159) dengan penyumbang terawal boleh membelinya pada harga sekitar RM973. Memandangkan XNote adalah satu lagi perkhidmatan AI generatif, penggunaan ciri ChatGPT mereka yang percuma mempunyai fungsi terhad tetapi terdapat langganan $9 (~RM42) sebulan untuk mengakses semua ciri dan fungsi.

Komen