Cari @ Amanz

Selepas Microsoft, Google, dan OpenAI hadir dengan perkhidmatan AI generatif untuk penjanaan imej, Amazon mengumumkan pula Titan Image Generator sebagai model untuk pembangun membangunkan sendiri perkhidmatan penjana imej tersendiri. Apa yang menarik dengan iterasi Amazon adalah, teknologi mereka menyertakan tera air (watermark) tersembunyi sebagai pengesahan digital imej dijana oleh AI.

Titan Image Generator mempunyai kemampuan seperti DALL-E, Midjourney dan Stability AI di mana selain menjana imej dengan prom, imej tersendiri turut boleh dimuat naik untuk disunting dan menjana imej baharu. Ia mempunyai had 77 token dalam Bahasa Inggeris sahaja sementara had saiz imej yang boleh dimuat naik pula ialah 25M. Amazon menyatakan mereka menggunakan pengalaman selama 25 tahun dalam AI dan pembelajaran mesin (ML) untuk menghasilkan model ini.

Imej yang dijana dengan Titan

Tera air tersembunyi yang dibangunkan Amazon adalah satu komitmen bersama kerajaan Amerika Syarikat bagi memastikan imej yang dijana dengan teknologi AI generatif mereka tidak tersebar sebagai berita palsu.

Titan Image Generator kini boleh diuji pelanggan Amazon Bedrock yang turut menawarkan akses kepada model lain seperti Llama, Claude, dan Stable Diffusion. Pelanggan boleh menggunakannya untuk menjana imej untuk dokumen kerja ataupun menghasilkan grafik untuk tujuan pengiklanan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd