Sebanyak 10 syarikat dipilih menyertai program pemecut Social Enterprise Accelerator Programme (SeAP) dengan menjalani latihan selama tiga bulan yang bermula hari ini hingga Februari 2024.
Ini termasuklah syarikat perusahan kecil dan sederhana (PKS) dan syarikat pemula yang menyokong matlamat pembangunan mampan (SDG). Kemudiannya pemilihan pula dibuat berdasarkan kriteria dan fokus yang ditetapkan mengikut keutamaan.
Kesemua yang dipilih akan melalui latihan bimbingan secara maya dan fizikal selama 12 minggu yang termasuk kelas induk (masterclass), bengkel diskusi interaktif dan bantuan secara profesional oleh mentor berkemahiran. Perkara ini bagi membangunkan potensi yang ada sekaligus mampu memainkan peranan penting untuk kelangsungan ekonomi sebagai penggerak inovasi yang baharu. Pada masa sama ia boleh membina dan membesarkan syarikat mereka sendiri.
Berikut merupakan senarai penuh syarikat yang terpilih :
- Siasitok – Penyedia alat pembelajaran untuk mengajar dan belajar bahasa isyarat dengan lebih mudah dalam bentuk kad imbas (flash card).
- Sinisana Technologies Sdn Bhd – Syarikat yang membangunkan produk blockchain dipanggil ‘Intersect’ bagi membolehkan pengguna mempunyai sumber data makanan yang dipercayai.
- OoGyaa Mobility – Syarikat yang pakar dalam perkhidmatan mobiliti mikro termasuk menyediakan escooters untuk digunakan di lokasi terpilih sekitar Kuala Lumpur.
- Stinablis – Syarikat yang menggalakkan pemuliharaan sumber persekitaran dengan mengitar semula sisa plastik sebagai bahan binaan untuk meningkatkan kemampanan dalam pembinaan.
- Womentum PLT – Mewujudkan komuniti yang menyokong wanita untuk berada di landasan yang mampan dalam mana-mana bidang diceburi.
- Green Hero – Platform dalam talian untuk perniagaan F&B menyalurkan makanan yang boleh dimakan, mengurangkan pembaziran dan menyelamatkan alam sekitar.
- Global Cerah – Syarikat Cleantech yang mengintegrasikan pengurusan sisa organik dan pengeluaran sumber protein alternatif ke dalam penyelesaian mampan oleh sistem dan perisian automasi.
- JOY – Syarikat yang menawarkan perkhidmatan dan bantuan penjagaan warga emas pada kadar yang berpatutan di seluruh daerah di malaysia
- Lumirous – Perunding kaunseling yang mengumpulkan semua sumber dan maklumat mengenai penjagaan kesuburan dan kesihatan reproduktif seperti IUI, IVF dan ICSI.
- WoLCE – Organisai yang menawarkan program latihan komprehensif, sesi perbahasan yang menarik, dan acara direka untuk kanak-kanak.
Kesemua yang dipilih juga akan berusaha sehabis baik untuk membuat perbentangan kepada pelabur dan juri yang dijadualkan berlangsung pada penghujung Februari 2024. Sekaligus merebut tiga tempat terbaik bagi menerima pelbagai manfaat menarik termasuk pembiayaan tambahan daripada Hong Leong Foundation (tertakluk pada terma dan syarat).
Untuk rekod program pemecut SeAP ialah insiatif yang diadakan oleh Hong Leong Foundation bersama Beyond4 dengan hasrat untuk membangunkan ekosistem start-up negara ini. Turut hadir pelancaran hari ini ialah Pegawai Eksekutif Beyond4, S.T Rubaneswaran dan Pengarah Eksekutif Hong Leong Foundation, Quek Sue Yian.