Cari @ Amanz

Dengan sejumlah produk elektronik, khususnya produk-produk Apple, ataupun komponen komputer gaming dan sebagainya, perbandingan tanda harga diantara pasaran-pasaran berbeza adalah sesuatu yang sering dilakukan untuk cuba mendapatkan nilai tanda harga yang terbaik.

Terkini, laman perbandingan harga peralatan elektronik Apple diantara pelbagai pasaran terpilih telah menyenaraikan Malaysia sebagai negara dimana pelanggan boleh membeli komputer riba MacBook Pro 14 yang dikuasakan cip pemprosesan Apple M3 dengan harga paling mampu milik, mengatasi negara-negara seperti Amerika Syarikat, Kanada, Vietnam dan Hong Kong.

Laman web ini membandingkan tiga model MacBook Pro 14 tersebut, dengan pilihan storan, memori dan cip pemprosesan yang berbeza. Untuk model MBP 14 M3 dengan memori 8GB dan storan SSD 512GB, tanda harga yang diletakkan ialah $1576, yang tidak jauh daripada harga RM7499 di laman web Apple Malaysia. Tanda harga ini sedikit lebih rendah berbanding

Untuk model kedua pula dengan memori yang sama dan storan 1TB, Nukeni meletakkan tanda harga $1744 untuk model tersebut, yang dijual pada harga RM8299 di pasaran tempatan, dan tanda harga ini masih lagi yang paling murah apabila dibandingkan dengan pasaran-pasaran lain.

Model terakhir yang dibandingkan ialah MacBook Pro 14 M3 Pro dengan memori 18GB dan storan 512GB. Untuk model ini, harga termurah adalah di Amerika Syarikat, pada harga $1999, manakala Malaysia pula di tangga kelima dengan tanda harga $2101. Di laman web Apple Malaysia, model ini dijual pada harga RM9999.

Apa yang mungkin agak mengejutkan ialah memperlihatkan tanda harga sebuah MacBook Pro di beberapa pasaran seperti Brazil yang menjual komputer riba tersebut pada harga yang terlampau mahal. Model asas MacBook Pro 14 dengan 8GB memori dan 512GB storan dijual pada harga $3665 yang mana ia adalah lebih mahal berbanding dengan model MacBook Pro 14 dengan cip M3 Pro di mana-mana pasaran lain di dunia.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd