Jualan kelengkapan elektronik tiruan dan cetak rompak bukanlah sesuatu yang baru, akan tetapi di sesetengah tempat, ia merupakan sesuatu yang agak sukar untuk dibendung. Terkini, laporan telah hadir dari Taiwan dimana pihak polis negara tersebut telah merampas satu longgokan besar kabel HDMI yang dianggarkan bernilai $2.6 juta (~RM12 juta).

Seperti yang dijangka, rampasan ini dilakukan kerana kabel-kabel HDMI ini, yang dijual di kedai fizikal dan atas-talian pada tanda harga yang sangat murah merupakan kabel tiruan yang menggunakan nama HDMI tanpa sebarang kesahihan daripada kumpulan HDMI. Pihak polis Taiwan mengatakan bahawa ini adalah kerana kesedaran mengenai nama HDMI tersebut tidak cukup meluas di kalangan pembeli dan pengguna di negara tersebut.
Selain daripada nama dan sambungan fizikal ikonik kabel tersebut, ia juga dilaporkan bahawa kabel-kabel ini dibangunkan menggunakan kualiti yang tidak mengikuti piawaian organisasi HDMI, dan ini dilihat boleh menyebabkan isu dimana kabel ini tidak akan berfungsi seperti yang sepatutnya ataupun akan menyebabkan kerosakan kepada kelengkapan teater rumah ataupun komputer yang menggunakannya.

Ia dilaporkan bahawa sebanyak 3,037 produk berkaitan dengan kabel-kabel HDMI tiruan ini yang berjaya dirampas, walaupun pihak polis Taiwan tidak memberikan butiran mengenainya. Organisasi HDMI juga dilaporkan akan memfailkan saman terhadap pembuat kabel tiruan ini kelak dalam usaha untuk membanteras industri kabel tiruan ini.