Cari @ Amanz

Setelah sekian lama ia diumumkan bahawa syarikat-syarikat telekomunikasi tempatan akan mengambil pegangan ekuiti didalam syarikat pembekal rangkaian 5G kebangsaan Digital Nasional Berhad, perjanjian tersebut akhirnya telah dimeterai secara rasmi oleh lima pembekal perkhidmatan telekomunikasi tempatan, termasuklah CelcomDigi Berhad melalui Infranation Sdn Bhd, Maxis Berhad, Telekom Malaysia Berhad, U Mobile Sdn Bhd dan YTL Power International Berhad.

Fahmi Fadzil, Menteri Komunikasi dan Digital yang berada di acara tersebut mengatakan bahawa dengan lengkapnya pegangan kelima-lima buah syarikat ini keatas Digital Nasional Berhad, ia tiba masanya untuk memastikan bahawa liputan rangkaian 5G kebangsaan dapat ditingkatkan ke 80 peratus kawasan berpenduduk menjelang penghujung tahun ini.

Setiap satu daripada syarikat-syarikat telekomunikasi ini telah membayar sebanyak RM233 juta untuk mengambil 14 peratus pegangan ekuiti keatas Digital Nasional Berhad, dan apabila digabungkan, mereka memiliki 70 peratus daripada pegangan ekuiti keatas syarikat tersebut.

DNB Digital Nasional

Setakat bulan November tahun ini, ia telah dilaporkan bahawa sebanyak 73 peratus daripada kawasan berpenduduk di Malaysia sudahpun boleh mula menggunakan dan memanfaatkan pelan 5G pada peranti pintar mereka.

“Angka ini penting kerana setelah kita capai 80 peratus, kerajaan akan umum bahawa satu entiti baharu boleh diwujudkan dengan sejumlah daripada MNO akan kekal bersama DNB sebagai entiti A manakala sejumlah syarikat MNO yang lain akan mula beroperasi dan membangunkan rangkaian kedua 5G dibawah entiti B”.

Kenyataan ini adalah berkaitan sebuah lagi syarikat yang akan tiba untuk membangunkan rangkaian 5G kebangsaan kedua, dan berdasarkan kenyataan diatas, akan dikelola oleh sejumlah syarikat telekomunikasi yang lain daripada lima yang mempunyai pegangan keatas DNB.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan juga, Entiti B ini akan mula membangunkan rangkaian 5G mereka bermula Januari 2024 ini. Butiran mengenai syarikat Entiti B ini akan diumumkan selepas DNB berjaya meningkatkan liputan rangkaian 5G ke 80 peratus kawasan berpenduduk pada penghujung tahun ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd