Carian
Ozempic Turut Boleh Digunakan Untuk Merawat Ketagihan Alkohol
December 4, 2023 Effi Saharudin

Semaglutide ialah ubat yang sedang tular sekarang kerana menjadi pilihan untuk mereka yang ingin mengurangkan berat badan dengan pantas. Ia dijual menggunakan nama Ozempic dan Mounjaro dengan ia dibangunkan pada asalnya untuk mengawal selera makan bagi pesakit diabetes. Menurut kajian terkini yang telah dilakukan oleh University of Oklahoma (OU) Tulsa dan Oklahoma State University (OSU), semaglutide juga boleh digunakan dalam merawat ketagihan alkohol.

Pesakit yang menerima semaglutide turut didapati mencatatkan markah lebih rendah dalam ujian mengesan gangguan penggunaan alkohol (AUD). Dalam ujian AUD, skor dari sifar ke 40 digunakan untuk melihat tahap ketagihan dengan skor 15 ke atas dikategorikan sebagai serius. Ujian yang dilakukan hanya melibatkan enam pesakit. Maka sebuah ujian dengan jumlah peserta lebih besar akan dilakukan untuk melihat keberkesanan semaglutide dalam mengurangkan nafsu pengambilan alkohol.

Sebelum ini kajian ke atas tikus dan monyet makmal menunjukkan semaglutide bukan sahaja boleh mengurangkan ketagihan alkohol tetapi juga terhadap penyalahgunaan dadah. Di Malaysia walaupun hanya sekitar 12% penduduk mengambil alkohol, 45.8% daripada mereka mengambilnya dalam jumlah yang berlebihan. Jauh lebih tinggi berbanding 27% di UK. Ketagihan alkohol mengakibatkan pelbagai penyakit serius lain seperti kegagalan hati dan juga mengakibatkan kematian akibat kemalangan.

Menegah sememangnya lebih baik daripada merawat. Tetapi mereka yang mempunyai masalah ketagihan perlu diberikan rawatan untuk mengelakkannya menjadi lebih serius.

Komen