Carian
Pengecas EV Berprestasi Tinggi 360kW Shell Recharge Akan Beroperasi Di Resorts World Genting Seawal 2024 – Kelantan & Terengganu Menyusul
December 4, 2023 Ikhwan Nazri

Dengan pertambahan mendadak kenderaan elektrik yang dimangkin oleh inisiatif kerajaan dalam menggalakkan industri ini, perlunya lebih banyak pengecas tersedia di pelbagai lokasi bagi memastikan pengguna kenderaan elektrik boleh mengecas dan meneruskan perjalanan. Hari ini Shell Recharge dengan kerjasama Porsche Malaysia dan Genting Malaysia berhad memetrai perjanjian pembangunan pengecas EV berprestasi tinggi 360kW di Resorts World Genting.

Di lokasi ini, sebanyak 10 parkir pengecasan terdiri dari 4 pengecas 360kW dan 6 22kW AC Type 2 akan tersedia, dan sebagai contoh perkiraan masa mengecas menggunakan Porsche Taycan, pengecas ini dapat mengecas dari 5-80%  dalam masa 20 minit. Pengecas ini akan beroperasi pada awal 2024.

Shell Recharge kini menggunakan tarif harga berdasarkan kapasiti elektrik yang dicaskan, dan bukan berdasarkan minit pengecasan diambil. Untuk lokasi ini juga, pentguna perlu menggunakan aplikasi Shell ParkEasy bagi mengecas kenderaan elektrik, dengan harga pengecasan 22kW AC akan dikenakan Harga Tempahan (Confirmation Fee) RM 8.00, dan untuk setiap kWh pada kadar RM 1.30 / kWh. Sekiranya kenderaan tersebut dibiarkan tanpa sebarang pengecasan (idle fee) dilakukan melebihi 15 minit, harga tambahan sebanyak RM 2.00 setiap 30 minit akan dikenakan, dengan caj maksimum setiap sesi RM 200.

Bagi pengecas berprestasi tinggi 360 kW, Harga Tempahan dikenakan sebanyak RM 10, dengan kadar RM 2.80 setiap kWh untuk pengecasan, dan apabila kenderaan tersebut dibiarkan tanpa sebarang pengecasan dilakukan melebihi 15 minit, harga tambahan sebanyak RM 10 setiap 15 minit akan dikenakan, dengan caj maksimum setiap sesi RM400.

Harga yang dinyatakan diatas hanyalah kadar untuk pengecasan Shell Recharge di Genting HPC Hub dan kadar di lokasi lain adalah berlainan, mengikut kapasiti pengecasan yang ditawarkan. Sehingga kini, Shell Recharge telah mempunyai 136 pengecasan di bandar-bandar utama Semenanjung Malaysia, dan dapat menghubungkan pengguna kenderaan elektrik yang melakukan perjalanan antara Thailand, Malaysia dan juga Singapura. Malah Shell Recharge juga akan melancarkan pengecas berprestasi tinggi mereka di Kelantan dan Terengganu pada tahun hadapan. 

Komen