Samsung, jenama elektronik yang cukup terkenal untuk peranti pintar, storan komputer dan pelbagai jenis perkakasan rumah nampaknya akan melancarkan komputer riba Galaxy Book terbaru mereka tidak lama lagi.
Samsung Galaxy Book 4 dijangka akan dilancarkan pada 15 Disember ini dan akan dikuasakan oleh cip pemprosesan Intel Meteor Lake, dan mungkin menjadikannya komputer riba pertama dengan cip pemprosesan tersebut.
Cip pemprosesan ini dijangka akan diumumkan pada 14 Disember ini, dan Samsung dilaporkan akan menggunakan cip Intel Core Ultra, iaitu variasi cip pemprosesan Meteor Lake yang lebih berkuasa daripada yang biasa. Butiran mengenai komponen yang akan digunakan tidak diketahui lagi, tetapi ada kebarangkalian bahawa Samsung akan menawarkan cip seperti Intel Core Ultra 7 155H ataupun Intel Core Ultra 9 185H.
Samsung dilaporkan juga mahu mengeluarkan komputer riba ini kerana penggunaan cip kecerdasan buatan didalam CPU Meteor Lake, yang dijangka akan memanfaatkan teknologi Large Language Model Samsung sendiri yang dinamakan Samsung Gauss. Ia dijangka bahawa Samsung Gauss juga akan tiba untuk siri peranti Samsung Galaxy S24 yang akan dilancarkan pada awal tahun hadapan.