Acer dijangka akan memperkenalkan kemaskini kepada sejumlah komputer riba mereka pada awal tahun 2024 kelak, termasuklah Acer Predator Helios 2024 dan juga Acer Swift Go 2024. Kedua-dua komputer riba ini dilihat akan hadir dengan penawaran cip pemprosesan Intel yang terbaru, iaitu Intel generasi ke-14 Rocket Lake Refresh dan juga Intel Meteor Lake.
Bermula dengan Acer Predator Helios, komputer riba ini dijangka tiba dengan cip pemprosesan Intel Core i9-14900HX, kad grafik NVIDIA GeForce RTX 4080 dan pilihan paparan MiniLED 16 inci dengan resolusi WQXGA dan kadar segar semula 250Hz. Untuk model kedua, Acer nampaknya akan memperkenalkan paparan IPS 18 inci dengan resolusi yang sama, tetapi kadar segar semula 240Hz.
Dari segi penawaran memori dan storan, Predator Helios dengan paparan miniLED dilihat hadir dengan memori DDR5 sebanyak 16GB dan storan 1TB, manakala Predator Helios dengan paparan IPS akan dilengkapi dengan 32GB memori DDR5 dan juga 2TB storan SSD.
Untuk Acer Swift Go pula, kedua-dua model yang ditawarkan akan hadir dengan paparan skrin CineCrystal OLED 14 inci dengan resolusi 2880×1800 dan dikuasakan oleh dua penawaran CPU, termasuklah Intel Core Ultra 7 155H dengan 32GB memori DDR5 dan 1TB storan SSD, manakala satu lagu model akan dikuasakan oleh cip pemprosesan Intel Core Ultra 5 125H dengan 16GB memori DDR5 dan storan SSD 32GB.
Intel dijangka akan melancarkan siri cip pemprosesan Meteor Lake dan Rocket Lake Refresh mereka pada 14 Disember ini. Komputer-komputer riba Acer ini dijangka akan diperlihatkan secara rasmi pula samada pada penghujung tahun ini, ataupun sewaktu CES 2024 kelak.